Pinggirkan agama punca tamadun Islam pudar

ASLANI M | .

BACHOK: Umat Islam perlu mengambil iktibar kejatuhan tamadun Islam pada zaman lampau berlaku disebabkan amalan agama dipinggirkan dalam kehidupan masyarakat.

Pengerusi  Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Nassuruddin Daud berkata kegemilangan Islam jatuh satu demi satu selepas kesedaran agama hilang dalam diri umat Islam.

Sedangkan katanya sebelum itu Islam mempelopori tamadun ilmu dengan pencapaian yang menjadi kekaguman dunia.

“Oleh sebab itu, kita perlu memulakan lebaran baru dengan memperkasakan lagi kehidupan umat Islam lebih-lebih lagi  sempena  sambutan  tahun baru hijrah,” katanya pada sambutan Hijratul Rasul 1437 peringkat negeri di Masjid Mahmudi Bandar Bachok di sini malam tadi.

Sambutan itu dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan. Berangkat sama Tengku Temenggong dan Tengku Bendahara.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco, Mufti kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Shukri  Mohammad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sambutan itu bermula dengan solat Maghrib, diikuti kuliah agama. Selepas solat Isyak diadakan penyampaian anugerah sempena Hijratul Rasul.

Masjid Mahmudi terletak tidak  jauh dari Pantai Irama penuh sesak dengan kehadiran penduduk tempatan sehingga ruang solat muslimat disediakan khemah di perkarangan masjid.

Nassuruddin juga berkata konsep hijrah sepatutnya disambut sepanjang tahun dan bukannya sempena sambutan tahun baru sahaja.

Tengku Mahkota ketika bertitah mahu umat Islam  bersatu padu untuk menjamin kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

Sempena program berkenaan, bekas pensyarah UiTM, Ustaz Nik Razi Nik Mat diumumkan sebagai Tokoh Hijratul Rasul Kelantan 1437. Anugerah itu melayakkan beliau menerima wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Manakala Tokoh Saudara Kita pula dianugerah kepada Asyikin Ong Abdullah yang berasal dari Pasir Mas.

Anugerah sekolah agama bantuan terbaik dimenangi Sekolah Menengah Ugama (Arab) Panchor, kategori maahad pula dimenangi Maahad Shamsul Maarif Perempuan Pulai Chondong dan maahad kawalan terbaik dijuarai Maahad Muhammadi Perempuan.

Anugerah masjid bandar terbaik pula dimenangi Masjid Sultan Ismail Petra Tanah Merah, kedua Masjid Sultan Yahya Petra Machang dan ketiga Masjid Ibrahimi Pasir  Puteh.

Masjid mukim terbaik dimenangi Masjid Sri Aman Pasir Puteh, kedua Masjid Bendang Nyiur Tanah  Merah dan ketiga Masjid Kasar, Pasir Mas.

Kategori  institusi pondok terbaik dimenangi Pondok Sri Permai Seligi Pasir Puteh, manakala jajahan cemerlang melaksanakan aktiviti agama iaitu  jajahan Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace