Ketua Pembangkang: PAS Johor kesal terima berita

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Johor menerima berita peletakan jawatan Dr Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor dengan penuh kekesalan.

"Walaupun berbeza dalam pendekatan politik, Johor memerlukan pemimpin seperti Dr Boo yang boleh berbincang dan memberi pendapat bagi kebaikan rakyat di negeri ini," ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin.

Katanya, PAS Johor juga menghormati hak DAP untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang Dun Johor kerana parti itulah yang mempunyai wakil paling besar dalam blok pembangkang.

Namun, tambah beliau PAS merasakan peranan yang diambil oleh Dr Boo perlu dihargai.

Katanya, keghairahan untuk menang di Johor, menyebabkan DAP dilihat kurang menghargai peranan pemimpin tempatan di kalangan mereka.

"PAS Johor juga menyokong sepenuhnya konsep 'Bangsa Johor' yang disarankan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Johor adalah hak orang Johor," ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS negeri.

Menurutnya, perjuangan bagi meletakkan keadilan kepada semua tidak kira apa bangsa dan agama mereka.

Beliau yang juga Adun Puteri Wangsa berkata, hanya orang Johor yang mengetahui dan memahami masalah di Johor.

"Pada masa yang sama ia bukanlah bermakna kita meninggalkan semangat patriotisma kepada negara Malaysia.

"Atas konsep Bangsa Johor inilah, maka PAS Johor merasakan apa-apa jawatan utama politik sama ada kerajaan atau pembangkang di negeri ini perlulah diisi oleh anak Johor sendiri," katanya lagi.

Justeru, tambah beliau PAS Johor merasakan DAP perlu mengambil kira  sentimen ini untuk kelangsungan konsep Bangsa Johor yang disarankan oleh Yang Mulia TMJ tersebut.

"Akhir sekali, PAS Johor mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Boo atas peranan dan tanggungjawab yang beliau mainkan sebagai Ketua Pembangkang di Negeri Johor," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace