Fokus pada perjuangan menangkan PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KEMAMAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi mengingatkan seluruh ahli dan jentera parti agar fokus kepada perjuangan memenangkan PAS.

Justeru, kata beliau setiap ahli parti mesti menjadi pendukung kepada perjuangan Islam dan bukan sekadar penyokongnya.

Menurutnya, pendukung gerakan Islam perlu mengambil amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas mengikut posisi masing-masing.

“Kita (ahli) kena fokus pada perjuangan (PAS) dan kita kena jadi pendukung dengan mengambil amanah dan tanggungjawab, laksanakan tugas dan bergerak mengikut posisi masing-masing.

“Sama ada kita sebagai pemimpin atau ahli biasa. Kita mempunyai peranan yang besar pada perjuangan yang kita dukungi ini hingga mencapai kemenangan, Insya-Allah,” tegasnya .

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Liqa Fikri PAS Dun Chukai dengan tema “Kekalkan Chukai PRU14” di Lagoona Resort, Cherating semalam.

Ustaz Nasaruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menjelaskan faktor kemenangan dalam sesuatu ‘permainan’ adalah pendukung dan bukannya penyokong.

Ini kerana, katanya pendukung adalah pemain utama yang menentukan kemenangan dalam perlawanan.

“Ibarat main bola sepak, yang akan menentukan kejayaan, kemenangan adalah pemain dan bukan penyokong. Walaupun masuk stadium dengan 50,000 penyokong, jika pemain hilang fokus, mereka tidak akan menang perlawanan itu.

“Kita (PAS) jangan jadi penyokong sahaja dalam perjuangan Islam kerana tidak ada istilah penyokong dalam gerakan Islam.

“Sebab yang memberi faktor kemenangan itu adalah pendukung dan bukannya penyokong. Pendukung adalah pemain utama yang menentukan kemenangan,” ujarnya di hadapan lebih 300 petugas parti Dun Chukai.

Sehubungan itu, kata beliau sebagai persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) manfaatkan segala kekuatan yang ada pada PAS.

Menurutnya, tiga eleman penting yang diperlukan oleh parti iaitu persiapan material, kekuatan fizikal serta kemantapan spiritual.

“Langkah mempersiapkan diri (parti) untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Manfaatkan segala kekuatan yang sedia ada dari segi persiapan metarial (harta benda), kekuatan fizikal (tubuh badan) dan kemantapan spiritual (roh).

“Ketiga-tiga kekuatan ini mestilah diganding untuk membentuk suatu kekuatan yang jitu dan mantap bagi menghadapi pertembungan dalam perjuangan yang sedang kita (PAS) langsungkan ini.

“Saya kira untuk menghadapi pilihan raya ini ketiga-tiga eleman itu amat diperlukan dan dipersiapkan,” jelasnya.

Katanya, fokus gerak kerja PAS adalah memenangi pilihan raya dengan menumbangkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dua ahli panel lain pengisian program Liqa Fikri PAS Dun Chukai iaitu Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman.

Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Ketua Muslimat PAS Kemaman, Ustazah Fainah Mat, Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood dan Ketua Pemuda Dun Chukai, Faizal Omar. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace