Kelantan benteng akhir gerakan Islam

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Bermula esok sehingga Selasa ini akan berlangsung lima program menarik di Kelantan bakal menyaksikan kehadiran puluhan ribu pendokong PAS dari seluruh negara.

Kelantan yang dianggap sebagai benteng akhir gerakan Islam di negara ini menjadi medan mempertahankan PAS dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen.

Petang esok akan diadakan Konvensyen Sekretariat PAS peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.

Pada petang dan malam esok pula akan diadakan penjelasan isu semasa dan dialog bersama pelajar institusi pondok dari seluruh Kelantan bertempat di Pondok Pasir Tumbuh.

Pada jam 3 petang Sabtu pula bermula Himpunan Fastaqim yang mensasarkan kehadiran kira-kira 60,000 peserta dari seluruh negara.

Program bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV turut diadakan munajat dan ceramah yang membariskan pemimpin-pemimpin utama PAS.

Manakala pada Ahad pula bakal dilangsungkan Ijtimak Ulama Nusantara di Balai Islam, Lundang. Program sehari itu menghimpunkan ulama dari negara-negara Asia Tenggara.

Perayaan Jubli Perak dasar Membangun Bersama Islam pula akan diadakan pada petang 20 Oktober, genap 25 tahun Kelantan di bawah pentadbiran ulama.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin berkata Himpunan Fastaqim Sabtu ini akan memperlihatkan kekuatan PAS yang didokong pejuang dari seluruh negara.

Katanya PAS Pengkalan Chepa akan menghantar seramai 1,400 peserta yang mewakili pimpinan di peringkat kawasan dan cawangan.

“Ini tanggungjawab kita kepada parti bagi memperlihatkan sokongan tidak berbelah bagi ketika berdepan kemelut dalaman yang baru berlalu,” katanya di sini.

Menurutnya ketika PAS berdepan dengan cabaran, semua anggota parti perlu memperkukuh jemaah Islam. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace