Entahlah, saya bukan PAN, saya tak tahu

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

SAYA agak sukar untuk menerima undangan berceramah dari luar Negeri Pahang, sangat jarang-jarang, terutama di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, maklum negeri ramai para Ulama, Tok Guru dan Asatizah, rasa takut, malu dan janggal nak berceramah di hadapan orang-orang alim dan lebih berilmu. Namun ceramah jugaklah 'hudoh-hudoh' pun, memenuhi hajat orang, walaupun tahu diri tak layak, menggeletar juga dibuatnya.

Baru-baru ni berceramah juga di Terengganu dan Kelantan dengan perasaan berat, sambil tu ambil kesempatan bertukar pandangan dan melihat rakan-rakan di sana menguruskan jamaah untuk dikutip, di bawa balik sebagai penambahbaikan dan memantapkan lagi pengurusan dan program PAS di kawasan saya, Alhamdulillah banyak juga yang dapat dipelajari. Begitu juga dengan pengurusan DUN, saya berjumpa dengan wakil-wakil rakyat disana, pelajari apa yang patut, maklum saya ini 'buah cempedak di luar pagar'.

Namun di mana sahaja saya pergi, soalan yang mesti saya jawap ialah 'macamana perkembangan PAN di Pahang?', biasanya saya jawap 'entahlah saya bukan PAN, saya tak tahu', saya bukan minat sangat nak bercerita tentang ini, bagi saya siapa sahaja bebas masuk dan keluar PAS, ini parti politik. Kalau tidak setuju dengan PAS maka masuklah mana-mana parti politik lain, banyak ada di Malaysia ini, rasanya melebihi 10 buah parti termasuklah parti-parti kecil yang tidak terkenal.

Namun, saya tidaklah meremehkan perkara ini, oleh sebab itu di peringkat Negeri Pahang, melalui seluruh organisasi, Ulama, Pemuda, Muslimat, Kawasan dan Cawangan-cawangan kita perkasakan program berbentuk Tarbiyyah supaya ahli, terutama ahli baru yang semakin ramai ini dapat memahami marhalah perjuangan PAS. Soal ada yang keluar daripada PAS dan menyertai PAN itu saya anggap perkara biasa, PAS sendiri telah berpengalaman dengan situasi tersebut satu ketika dulu sehingga tertubuhnya HAMIM dan BERJASA.

Soal siapa mati siapa kekal, itu terpulang kepada dasar dan gerak kerja parti masing-masing, pengurusan sebuah parti melibatkan jentera yang ramai dan kewangan yang besar, sejauh mana boleh bertahan terpulang kepada dua aset tersebut. Ideologi parti adalah sesuatu yang paling berpengaruh untuk menarik minat orang menyertainya, gerakerja melalui jentera dan kewangan adalah nadi yang akan meneruskan hidup gemuk atau kurusnya sebuah parti atau pun hidup segan mati tak mahu ataupun juga terus berkubur.

Setiap parti mesti bekerja dan mengatur strategi untuk menarik orang ramai menyertainya dan menerima ideologinya. Saya menolak pandangan yang mengatakan 'kita dan PAN hanya berbeza pandangan', sebab, jika kita berbeza pandangan, maka kita mesti berada di dalam parti yang sama, tiada parti yang sama dasarnya, mesti dasarnya berlainan, kaedahnyanya juga berbeza, jika hanya berbeza pandangan tidak perlu kepada menubuhkan parti lain, apabila menubuhkan parti lain, ini bererti kita bukan berbeza pandangan tetapi berbeza ideologi.

PAS berlawan dengan Umno sejak 1951 lagi. Masa saya budak-budak dulu pun saya kata bodohnya orang Melayu berbalah sesama sendiri kerana parti, apabila semakin dewasa dan belajar, baru saya faham bahawa ideologi sebuah parti itu ialah marhalah kepada sebuah perjuangan, ke mana halatuju perjuangan ditentukan oleh dasar partinya, kita boleh jadi mukmin, komunis, sosialis, liberal, sekular dan sebagainya apabila kita mengikuti ideologi dan hala tuju sesebuah parti, PAS bertembung dengan Umno sejak dulu adalah kerana ideologinya.

Kita boleh berbeza pendapat, tetapi tidak boleh berbeza ideologi, kita boleh berkawan dengan orang yang berbeza ideologi, malahan yang berbeza agama sekalipun, malahan untuk bersefahaman atas titik pertemuan dalam perkara-perkara yang sama, namun ideologi sesebuah parti tidak mungkin keseluruhannya akan sama, kerana itulah berlakunya berbilang-bilang parti, jika semuanya sama, maka tiadalah berbilang-bilang parti.

PAS adalah wadah yang berdasarkan kepada al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias, seruannya adalah ALLAHUAKBAR dan marhalah perjuangannya adalah untuk menegakkan hukum Allah SWT, maka inilah bahteraku. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace