Ulama PAS Perak sokong desakan PAS negeri

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Dewan Ulamak PAS Perak menyokong penuh desakan PAS Perak kepada Adun dan Ahli Parlimen yang keluar parti supaya meletakkan jawatan, demikian menurut Ketuanya, Ustaz Sidek Mohd Nor.

Jelas beliau, kandungan bai’ah dan sumpah setiap calon jelas menghendaki mereka yang meninggalkan atau melompat ke parti lain hendaklah meletakkan jawatan.  

Bahkan tegasnya, janji itu juga telah diperteguhkan dengan sumpah menyebut nama Allah; wallahi, wabillahi, watallahi, seterusnya rela dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

Malah katanya, segala perbelanjaan menggunakan elaun ahli dewan tersebut adalah haram.

Beliau turut mengulas, perkara ini bukan isu biasa kerana ianya berkaitan dengan hukum syarak.  

"Sepertimana kita melihat, jika pandangan lahiriah melihat si pencabulnya boleh terlepas di dunia, namun sama sekali tidak akan terlepas di negeri akhirat kelak, terpulanglah kepada keimanan untuk mempertimbangkan.

"Justeru, desakan PAS Perak ini adalah wajar bersandarkan hukum dan aku janji yang telah dilafazkan oleh mereka ketika menjadi calon dalam PRU-13 lalu.

"DUPNPk selaku sayap parti di peringkat negeri, yang antara peranannya diamanahkan untuk memberi nasihat berhubung hukum syarak, setelah meneliti kepada kandungan bai’ah dan sumpah setiap calon yang bertanding mewakili PAS.

"Maka kami ingin menyatakan nasihat supaya kedua-dua Adun dan Ahli Parlimen itu meletakkan jawatan mereka dan pula kedua-dua mereka menjadi Adun dan Ahli Parlimen mewakili PAS Negeri ini," tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace