Suhakam gesa jelaskan isu pendidikan orang asli

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa Bahagian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Sekolah Kementerian Pendidikan menjelaskan dapatan tentang isu yang menyelubungi sekolah-sekolah di perkampungan Orang Asli.
    
Pemangku pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata Orang Asli mempunyai budaya yang berbeza dalam segenap aspek berbanding bangsa dan budaya masyarakat Malaysia yang lain dan ini mempunyai implikasi dalam dasar pendidikan.
    
Oleh itu, dasar pendidikan yang mempunyai kesan ke atas kanak-kanak Orang Asli mesti disesuaikan dan diselaraskan dengan budaya dan kepercayaan mereka.
    
"Tambahan pula, semua sekolah termasuk sekolah berasrama bertanggungjawab supaya sensitif kepada komuniti yang menerima perkhidmatan mereka dan menjaga dan melindungi kanak-kanak di bawah jagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
    
Oleh itu, suruhanjaya mengesyorkan supaya Kementerian Pendidikan segera memperuntukkan sumber pendidikan untuk memastikan masyarakat yang terpinggir seperti kanak-kanak Orang Asli mempunyai akses yang sama kepada pendidikan.
    
"Ini termasuk pembinaan sekolah yang berdekatan dan menempatkan guru-guru yang mampu menghargai, memahami dan menghormati budaya serta kepercayaan Orang Asli," katanya.
    
Khaw berkata suruhanjaya itu juga terus menerima aduan berkaitan penderaan oleh guru dan terkejut dengan tindakan guru-guru.
    
"Suruhanjaya berpendirian tegas bahawa pengurusan disiplin murid mesti menjaga maruah kanak-kanak berkenaan dan hak untuk mendapatkan perlindungan daripada segala bentuk keganasan," katanya.
    
Sementara itu, beliau berkata suruhanjaya itu melahirkan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak Orang Asli yang meninggal dunia di Gua Musang selepas hilang kira-kira 47 hari.
    
Tujuh kanak-kanak Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas, kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
    
Dua daripada tujuh murid berkenaan, Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat di tebing Sungai Perias pada 9 Okt manakala dua lagi murid Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia.
    
Tiga lagi iaitu Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7, masih belum ditemui. - BERNAMA

Share on Myspace