Kelantan bersiap sambut peserta Himpunan Fastaqim

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Menjelang Perhimpunan Fastaqim Sabtu ini, Pemuda PAS Kelantan bertungkus lumus membuat persiapan tempat di lokasi program berkenaan akan diadakan.

Tinjauan hari ini mendapati kerja-kerja menyediakan peralatan di dalam dan luar Stadium Sultan Muhammad Ke IV sedang rancak dijalankan.

Khemah khas di perkarangan stadium yang dijadikan tempat ekspo juga sudah siap dipasang.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata persiapan program berkenaan dianggarkan sudah mencapai kira-kira 80 peratus sekarang.

“Ekspo akan bermula esok sehingga 20 Oktober ini iaitu sempena Sambutan jubli perak kerajaan negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam,” katanya di sini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah 2 Himpunan Fastaqim berkata program Himpunan Fastaqim akan bermula jam tiga petang Sabtu yang melibatkan aktiviti anak muda.

Katanya program itu diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Pada sebelah malamnya pula diadakan munajat dan ceramah perdana disampaikan pemimpin-pemimpin utama PAS di dalam stadium.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan kedatangan ahli dan penyokong PAS dari seluruh negara ke program berkenaan.

“Rakyat Kelantan menyambut kedatangan mereka ke Serambi Mekah bagi mengembalikan kegemilangan perjuangan Islam,” ujarnya.

Katanya juga rakyat Kelantan perlu merebut peluang hadir beramai-ramai pada program tersebut sebagai menggambarkan sokongan padu kepada kepemimpinan ulama. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace