Persempadanan: Tindakan licik SPR dikesali

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 kecewa dengan tindakan licik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tergesa-gesa menyerahkan laporan persempadanan semula Sarawak kepada Jabatan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu, tindakan SPR itu telah menggagalkan usaha mencabar persempadanan tersebut, yang ketika itu baru sahaja diputuskan di peringkat Mahkamah Rayuan.

"Perbuatan tidak sabar-sabar SPR, yang tidak sempat menanti rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan telah mengagalkan proses keadilan.

 "Malah secara langsung turut menghina proses mahkamah apabila proses undang-undang yang sedang berjalan di peringkat rayuan dipintas oleh kepentingan politik," demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa ini.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan notis SPR berkaitan cadangan persempadanan semula bagi kawasan pilihan raya di Sarawak dikekalkan.

SPR sebelum ini memohon untuk mewujudkan 11 kawasan pilihan raya baharu di Sarawak, meningkatkannya daripada 71 sekarang kepada 82.

Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak dan seorang pengundi berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik.

"Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam perbuatan jahat SPR, yang jelas begitu beriya mahu supaya persempadan semula tersebut dibentangkan dalam sidang Parlimen yang bakal bermula minggu hadapan, walaupun keputusan rayuan masih dalam proses.

"Ini turut memberi isyarat jelas bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, demi memberikan legitimasi atau keabsahan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang dilihat sedang dirundung seribu satu masalah termasuklah skandal ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadinya dan juga skandal hutang 1MDB," jelas jawatankuasa itu lagi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 turut melahirklan kekecewaan dengan sikap SPR yang telah menggunakan taktik yang begitu licik untuk menggagalkan tindakan sah mencabar persempadanan semula oleh Adun Batu Lintang See Chee How dan pengundi Ulu Baram Pauls Baya.

Menurut jawatankuasa itu lagi, Bersih 2.0 tidak akan berdiam diri dan tetap komited untuk melawan apa sahaja cubaan penipuan dan memperjuangkan integriti pilihan raya, terutamanya dalam hal persempadanan semula di seluruh negara yang melibatkan pembahagian tidak adil (malapportionment) dan ‘gerrymandering’. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace