H60K: Kayu ukur kebangkitan Islam pemuda

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan menyifatkan Himpunan Fastaqim H60K bakal memperkukuhkan lagi kekuatan ahli PAS semua peringkat.

Menurutnya, himpunan itu untuk menggembleng kekuatan serta memimpin kebangkitan pejuang selain diharap dapat menyuntik semangat ahli untuk terus istiqamah mendepani cabaran.

Katanya, penglibatan golongan pemuda begitu penting dan menjadi teras kebangkitan Islam dari dahulu sehingga kini.

"Saya yakin dan percaya, program ini bakal menyediakan pengisian yang mampu melahirkan anak muda istiqamah dan tidak goyah dalam mendepani pelbagai masalah.

"Keteguhan untuk menghadapi kehidupan dengan tetap bersandar teguh pada tali Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW," ujar beliau yang juga merupakan Adun Gunong Semanggol.

Tambahnya, fikrah perjuangan yang jelas perlu terus ditanamkan dalam jiwa anak muda serta istiqamah dalam menegakkan Islam di tanah air tercinta.

Ujarnya lagi, persediaan anak muda untuk menyampaikan risalah Islam ke seluruh pelusuk alam akan terbina dengan komitmen yang diberikan sepenuhnya dalam menjayakan program ini. – HARAKAHDAILY 15/10/2015

Share on Myspace