1MDB: Peguam Negara dan Bank Negara

HARAKAHDAILY | .

PIHAK yang meminjam duit merata-rata sehingga hutangnya menggerunkan kini tidak lagi dipersalahkan. Kesalahan ini sekarang cuba diletak pada pihak lain.

Itulah yang sedang berlaku apabila Jabatan Peguam Negara meletakkan Bank Negara Malaysia sebagai pihak yang cuai di dalam krisis 1MDB.

Apakah Peguam Negara tidak dapat menghidu bahawa 1MDB ini bermasalah?

Lihatlah rentetan peristiwa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas kelantangan beliau mengkritik 1MDB, pemecatan Datuk Seri Shafie Apdal daripada kabinet dan perlantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail tatkala siasatan pasukan petugas khas yang dianggotai Bank Negara Malaysia, SPRM, Polis dan Jabatan Peguam Negara hangat dijalankan.

Bukan itu sahaja, selepas itu berlaku penukaran pelik Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Hamid Bador, pegawai penyiasat SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, melantik 4 anggota Jabatan Kira-Kira Wang Negara ke kabinet, pemecatan pegawai undang-undang Jessica Gurmeet Kaur dan pembubaran pasukan siasatan khas kepada 1MDB.

Perkara ini tidak terhenti di sana, kini para pengkritik 1MDB iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula ditahan di bawah Sosma dan kemudian didakwa tuduhan mensabotaj ekonomi negara.

Dengan ramai yang nasib hidupnya telah berubah kerana 1MDB, namun nasib 1MDB dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih kelihatan teguh kerana Peguam Negara tidak dapat menghidu ada masalah terhadap 1MDB. Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-Raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat.

Yang hebatnya ialah sehingga kini 1MDB masih tidak perlu berdepan dengan PAC dan Perdana Menteri pula belum disoal oleh polis mahupun SPRM. Jikalau semua kejadian ini dijadikan kayu ukuran kepada 1MDB, ini boleh dikira sebagai krisis terbesar negara.

PAS mengalu-alukan sesiapa yang ingin bersama menuntut kebenaran dalam isu 1MDB bersama pembangkang, lebih-lebih lagi daripada kumpulan yang pro Umno BN. Dalam sudut ini, PAS menegaskan kami mengalu-alukan kesudian mana-mana NGO untuk bersama pembangkang menentang Umno dalam isu 1MDB dan kepentingan rakyat tapi PAS tidak akan sesekali mengadakan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimenkan perkauman.

Jika ada NGO cuba mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum dan agama, PAS adalah musuhnya yang pertama kerana Islam menegah perkara ini dengan jelas dan PAS akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan kehormonian kaum dengan politik perkauman yang melampau.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
16 Oktober 2015 - HARAKAHDAILY 16/10/2015

Share on Myspace