Kongres Rakyat gesa semua ahli parlimen tolak TPPA

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Kongres Rakyat menggesa supaya semua ahli parlimen yang akan bersidang bermula minggu hadapan bersepakat menolak TPPA.

Walaupun perdebatan di Parlimen tidak boleh merubah teks perjanjian yang telah dipersetujui oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia dengan wakil 11 negara yang lain di Atlanta Amerika Syarikat baru-baru ini, namun dengan menolak TPPA oleh Parlimen akan memberi alasan kuat untuk kerajaan memberanikan diri menarik diri keluar dari perjanjian tersebut.

Kami mengingatkan kepada semua ahli Parlimen bahawa mereka bertanggungjawab menolak TPPA kerana perjanjian itu secara tersurat dan tersirat sebenarnya menghakiskan kuasa legislatif Parlimen.

Parlimen akan hilang kuasa untuk menerima atau menolak sebarang dasar atau undang-undang yang dibentang jika ia didapati melanggari mana-mana klausa dalam teks TPPA yang ditandatangani.

Klausa yang terdapat dalam TPPA yang menyempitkan kuasa kerajaan untuk merangka dasar selepas TPPA berkuatkuasa akan menjadikan Parlimen hanya sebuah institusi "rubber stamp".

Sebarang undang-undang yang diluluskan di Parlimen yang melanggari mana-mana klausa dalam TPPA dan menjejaskan pelabur luar, akan mendedahkan negara kepada risiko diheret ke Tribunal Perdagangan Antarabangsa melalui mekanisme "Investor State Dispute Settlement".

Mengikut TPPA, sesebuah syarikat asing jika menfailkan suatu tuntutan di tribunal antarabangsa akibat  perusahaannya dilihat terkesan atau keuntungan yang diraih terjejas oleh dasar atau undang-undang tempatan yang digubal dan dikuatkuasakan akan menidakkan sebarang kuasa Parlimen atau sistem judisiari negara untuk membatalkan. Hatta jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sekalipun.

Ini jelas adalah gugatan ke atas kedaulatan negara .Wakil rakyat terbeban dengan amanah besar supaya kedaulatan negara tidak dikompromi dengan perjanjian yang akan menggadai kemerdekaan negara.

Jika ada tanggungjawab yang terbesar yang mesti dipikul oleh setiap wakil rakyat di Dewan Rakyat ialah memastikan kepentingan negara dan rakyat dipertahankan walau dalam keadaan apapun.

TPPA yang dirunding dengan secara rahsia sepanjang pusingan perundingan itu dijalankan jelas tidak boleh diterima samasekali. Apa hak kerajaan merahsiakan suatu perundingan yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat dari pengetahuan ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Setiap ahli Parlimen tidak boleh mengkhianati mandat rakyat dan merestui perjanjian yang akan mengikat negara dengan mengenepikan hak rakyat untuk menentang suatu perjanjian yang akan menjejaskan kehidupan mereka.

Kami menggesa setiap ahli Parlimen jangan menjadikan undi yang diberi oleh rakyat untuk mereka mendapat kerusi sebagai wakil rakyat meluluskan suatu yang mengkhianati kepentingan rakyat.

Kami akan memantau sikap dan pendirian setiap ahli Parlimen dalam isu TPPA ini. Sementera rakyat sering menjadi mangsa kepada kejahilan yang disengajakan oleh pemerintah dan memberikan gambaran yang muluk terhadap kelebihan menerima TPPA, Kongres Rakyat akan melancarkan mobilisasi massa supaya setiap rakyat memahami implikasi dari perjanjian yang tidak adil dan bersifat menjajah dalam perjanjian TPPA yang dieksploitasi sepenuhnya oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat. - HARAKAHDAILY 16/10/2015

Penulis ialah Presiden Mapim dan Pengerusi Kongres Rakyat.

Share on Myspace