Fastaqim: Datang awal, elak gagal masuk stadium

NASRUDIN HASSAN | .

Menyedari komitmen tinggi dari pelbagai pihak untuk menjayakan Himpunan Fastaqim yang akan berlangsung esok, saya mewakili Jawatankuasa Induk Himpunan Fastaqim menasihati agar semua peserta dapat hadir awal dan segera memasuki stadium sebelum jam 6.30 petang dalam keadaan berwuduk.

Ini mengelakkan insiden serupa berlaku sebagaimana yang pernah dialami sewaktu penganjuran Kongres Rakyat tempohari. Ribuan peserta tidak dapat memasuki dewan meskipun telah dibuka ruang alternatif untuk menampung kehadhiran yang ramai.

Kali ini, saya yakin dan percaya betapa kesungguhan dan semangat orang ramai ingin menyertai Himpunan Fastaqim ini sangat tinggi. Terutama setelah mereka tidak menyertai himpunan Bersih kemudian tidak pula berjaya memasuki dewan Kongres Rakyat, maka Stadium Sultan Muhammad IV ini menjadi destinasi penting buat mereka.

Justeru itu, kami nasihati semua agar datang lebih awal agar dapat mengambil ruang selesa di dalam stadium kelak. Andai kata ruang dalam stadium ini penuh, maka terpaksalah yang hadir kemudian, mengikuti perjalanan Fastaqim yang sarat dengan program dan aktiviti yang menarik ini dari luar stadium.

Jika benar stadium ini juga tidak berupaya menampung kehadiran orang ramai, kami memohon maaf kerana tiada lagi keupayaan kami untuk menyediakan tempat yang lebih luas berbanding stadium untuk dijadikan venue Himpunan Fastaqim ini.

Tempat parking bas di tanah lapang berhampiran Tesco dan parking motor di hadapan KTC. Anda boleh berjalan kaki dari arah parking tersebut dengan selesa. Pastikan anda tidak menghalang lalu lintas, menghalang pintu keluar masuk premis awam atau persendirian, tidak menghalang laluan ke hospital. Pastikan anda mengambil ruang yang telah ditetapkan dan patuhi tunjuk arah oleh Jabatan Amal Malaysia yang akan bertugas untuk melancarkan perjalanan Fastaqim dan menjamin keselesaan anda.

Kami harap, semua cool dan jangan stress. Jangan marah-marah dan bertindak kasar pada semua keadaan. Nasihat ini kepada semua, bermula dari petugas sehinggalah kepada peserta dan tetamu Fastaqim. Saling hormat menghormati. Terutama petugas kita yang telah berpenat lelah dan kurang tidur sejak seminggu lalu bagi memastikan persiapan akhir berjalan lancar.

Hargai mereka, patuhi tunjuk arah mereka dan beri kerjasama kepada petugas kita yang telah ditaklimatkan untuk menjayakan himpunan bersejarah ini. Kita semua satu matlamat dan objektif. Jika wujud salah faham, maka bertolak ansur dan selesaikan dengan mesra dan tenang agar kita semua beroleh berkat.

Beristiqamah Hingga Kemenangan
Allah swt bersama orang yang sabar - HARAKAHDAILY 16/10/2015

Penulis Setiausaha Fastaqim.

Share on Myspace