Istiqamah atas landasan perjuangan Islam

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

TAIPING:  Mereka yang berniat meninggalkan perjuangan Islam mesti memikirkan jawapan akan di bawa ke hadapan Allah SWT kelak, demikian aju Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hal itu katanya, sebagaimana saban hari setiap hamba memohon kepada Allah SWT agar ditunjukkan jalan lurus ketika dalam solat.

"Sehari lima waktu kita solat memohon kepada Allah SWT untuk sentiasa berada atas landasan sebenar. Namun apabila kita memilih untuk meninggalkan perjuangan ini, bagaimana jawapan kita tatkala berhadapan dengan Allah SWT kelak?" soalnya mengajak renungan.

Beliau berkata demikian pada majlis Pra-Himpunan Fastaqim Peringkat Negeri Perak di Pejabat PAS Kawasan Taiping , kelmarin.

Menurutnya, apabila seseorang memilih Islam sebagai dasar perjuangannya, bermakna segala tindakannya sentiasa diredai Allah SWT dengan syarat dilakukan secara ikhlas.

Terangnya, tidak semua kehebatan itu menjadi kemuliaan sebagaimana Firaun yang berkuasa, tetapi dia jauh dari Allah SWT.

"Jika ekonomi kita kuat, tetapi kita leka kewajipan kepada Allah, sudah pasti murka Allah sedia menanti.

"Islam tidak akan mati dengan kekangan, bahkan sebaliknya terus subur walau dimana sahaja ia berada.

"Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah membuktikan kepada kita Islam terus mekar dan berkembang menerusi mata rantai pewaris perjuangan Baginda," tambahnya.

Antara nasihat lainnya kepada hadirin, adalah supaya terus istiqamah atas perjuangan Islam sebenar walaupun diuji dengan pelbagai ragam dan wajah.

Kerana ujarnya, hanya perjuangan ini menjanjikan keindahan di akhir kehidupan manusia.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden PAS; YB Ustaz Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Perak; Haji Razman Zakaria, Setiausaha Perhubungan PAS Perak; YB Ustaz Zawawi Abu Hassan,  Ustaz Wan Moh Tarmizi Abdul Aziz; Ketua Lajnah Mobilisasi PAS Perak, Ustaz Fakaruddin Abdul Aziz; Yang Dipertua PAS Kawasan Taiping, serta beberapa pimpinan negeri dan kawasan. – HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace