Ulama pondok Kelantan istiqamah bersama PAS

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pusat pengajian pondok tradisional seluruh Kelantan berikrar memberi sokongan dan dukungan padu serta terus istiqamah bersama PAS bagi memartabatkan Islam di negara ini.

Ikrar itu dilafaz ribuan ulama dan guru-guru pondok yang datang dari seluruh Kelantan sempena ijtimak diadakan di Pondok Pasir Tumbuh malam tadi.

Ia dilafazkan di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan pemimpin-pemimpin utama PAS Kelantan.

Ikrar yang diketuai Ustaz Abdul Halim Daroni dari Pondok Pasir Tumbuh menegaskan ulama dan guru-guru pondok menolak Parti Amanah Negara dan menyeru mereka kembali semula kepada PAS.

Selain itu memberi wala dan ketaatan kepada jemaah Islam selama mana arahan mereka tidak bercanggah dengan ajaran al Quran dan al Sunnah.

“Kami juga tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha sama ada dari dalam mahu pun luar untuk memecahbelahkan kesatuan jemaah Islam.

“Mendukung kepimpinan ulama yang sedang mentadbir negeri Kelantan dan mempertahankannya dari sebarang anasir yang cuba menjatuhkannya,” kata Abdul  Halim.

Beliau juga menegaskan ulama dan guru-guru pondok negeri Kelantan bersama kepimpinan kerajaan negeri untuk memartabatkan pengajian pondok yang merupakan banteng utama kekuatan Islam di negeri ini.

Ikrar yang turut dilafazkan pelajar-pelajar pondok turut bertekad untuk bersama-sama berganding bahu untuk memastikan kemenangan jemaah Islam pada pilihan raya umum ke-14.

Berikut kandungan ikrar.

Pertama: Memberi sokongan dan dukungan padu dengan beristiqamah bersama Jemaah Islam PAS dalam usaha memartabatkan Islam dan syariatnya di negara ini.

Kedua: Memberikan kesetiaan (wala’) dan ketaatan kepada kepimpinan Jemaah Islam selama mana arahan mereka tidak bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

Ketiga: Tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk usaha sama ada daripada dalam mahupun daripada luar untuk memecahbelahkan kesatuan Jemaah Islam.

Keempat: Mendukung Kepimpinan Ulama yang sedang mentadbir kerajaan negeri Kelantan dan mempertahannya dari sebarang anasir yang cuba untuk menjatuhkannya.

Kelima: Bersama kepimpinan kerajaan negeri Kelantan untuk memartabatkan pengajian pondok yang merupakan benteng utama kekuatan Islam di negeri Kelantan.

Keenam: Bertekad untuk sama-sama berganding bahu untuk memastikan kemenangan Jemaah Islam dalam pilihan raya umum ke 14.

Ketujuh: Menolak Parti Amanah Negara (PAN) bersama kepimpinannya dan kami menyeru semua mereka untuk kembali bersama PAS. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace