Peserta Fastaqim mulai banjiri pekarangan stadium

MIJIE YUSOF | .

KOTA BHARU: Bandar Kota Bharu kini semakin sesak dengan kehadiran pendukuang PAS dari seluruh negara ke perhimpunan Fastaqim di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV petang ini.

Deretan kenderaan dari segenap jalan menuju ke pusat bandar Kota Bharu boleh dilihat sejak petang semalam. Keadaan semakin ketara pagi ini apabila rombongan dari luar Kelantan mulai tiba.

Hampir semua parkir di sekitar stadium mulai sendat dengan kenderaan. Bas hanya dibenarkan menurunkan penumpang dan perlu parkir di Bandar Baru Lembah Sireh, tidak jauh dari pusat bandar.

Tapak ekspo di perkarangan stadium tambah meriah dengan kehadiran orang ramai. Peniaga seperti tidak menang tangan melayan  pendokong PAS yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Petugas Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Kelantan, Mohd Bukhari Abdul Halim berkata, tumpuan orang ramai sekarang di tapak ekspo biar pun program bermula jam 3 petang ini.

“Petang ini program dimulakan dengan pentas anak-anak muda dengan pelbagai aktiviti yang siap diatur.

“Keadaan semakin sesak sekarang di perkarangan stadium dan jalan-jalan utama di sekitarnya. Dalam  stadium hanya kelihatan petugas yang sedang membuat persiapan terakhir,” katanya.

Difahamkan jalan utama ke stadium akan mulai ditutup kepada kenderaan jam 2 petang bagi mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan. - HARAKAHDAILY 17/10/2015
 

Share on Myspace