Mereka mahu menang tanpa ambil kira keredhaan Allah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelebihan PAS berbanding gerakan Islam di negara lain kerana ada Majlis Syura yang bertindak sebagai kata pemutus isu yang berlaku berkaitan PAS.

Sedangkan gerakan Islam di negara-negara  lain tidak memiliki institusi tertinggi seperti itu.

Bagaimanapun malangnya kata Presiden PAS ada pihak mahu Majlis Syura Ulama hanya bertindak sebagai penasihat sahaja yang boleh dipatuhi atau tidak.

“Mereka kata Majlis Syura melambatkan impian pembangkang untuk menduduki Putrajaya. Apa yang mereka mahu hanya menang tanpa mengambil kira kemenangan itu mendapat keredhaan Allah SWT atau tidak.

“Kemenangan tanpa keredhaan Allah tidak memberi sebarang makna. Ekoran itu ada pihak yang kecewa sehingga membawa diri.

“Ini telah memperlihatkan gerakan Islam sudah berpecah. Inilah usaha yang dijalankan musuh Islam bagi memecahbelahkan parti Islam,” kata Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang pada Ijtimak Ulama dan Guru-guru Pondok Kelantan malam tadi.

Program anjuran Dewan Ulama PAS Kelantan dan Pusat Pembangunan Pondok Bhd diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, iaitu institusi pengajian pondok tradisional terbesar di Malaysia.

Ribuan hadir pada program berkenaan sehingga melimpah ke luar dewan solat masjid tiga tingkat.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata musuh Islam berjaya memecahkan jemaah Islam seperti yang berlaku di Algeria, Indonesia, Mesir dan Turki.

Menurutnya di Indonesia sekarang ada lebih 10 parti Islam yang memperlihatkan perpecahan umat Islam sehingga  sukar untuk menguasai politik negara terbabit.

Beliau juga menjelaskan tahaluf siyasi PAS bersama kerajaan Barisan Nasional pada 1974 dilakukan  dengan lapan syarat termasuk membolehkan PAS menegur tindak tanduk kerajaan yang menyimpang dari landasan agama.

Selain  itu PAS mendesak dihapuskan hidangan arak pada majlis-majlis rasmi kerajaan yang menjadi  amalan peninggalan penjajah.

“PAS juga berjaya mendesak kerajaan menghapuskan  iklan arak dan judi dalam  radio dan televisyen milik kerajaan. Siaran azan juga perlu disiarkan pada setiap waktu solat,” ujarnya.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pula berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan ulama di mana sebahagian ulama berada dalam kepimpinan kerajaan.

Katanya hanya ulama yang mampu mengurus dunia kerana mereka merupakan  golongan pewaris nabi. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace