Fastaqim: Lautan hijau mula dirasai dalam stadium

ASLANI M & MIJIE YUSOF | .

KOTA BHARU: Hanya beberapa jam lagi menjelang perhimpunan Fastaqim dilangsungkan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV semakin melimpah dengan kehadiran pendukung PAS.

Di luar stadium segenap ruang mulai sesak teruk. Pentas anak muda menjadi tumpuan ramai sejak jam 3 petang. Pelbagai program diadakan termasuk nasyid, persembahan ular, dan paluan muzik tradisional silat dan gendang Cina.

Lokasi itu menjadi tumpuan anak-anak muda termasuk golongan muslimah dan warga emas.

Keghairahan terpancar di wajah setiap peserta yang datang bersama rombongan dan keluarga.

Seorang peserta dari Jerai, Kedah memberitahu rombongan  dari  Kedah datang bersama 61 bas dan lebih 500 kereta.

Beliau datang bersama keluarga petang semalam dan bermalam di enap desa Jalan Pantai Cahaya Bulan.     

“Biar pun PAS baru berdepan dengan masalah dalaman namun pendukung PAS dari seluruh negara masih bersemangat datang ke program di Kota Bharu.

“Segelintir rakan-rakan kita pergi menyertai parti lain. Biar pun mereka pergi namun penyokong di peringkat akar umbi tidak berganjak.

“Kita boleh lihat sendiri di program Fastaqim ini. Begitu ramai yang datang. Kalau diambil kira masalah dalaman yang berlaku tentunya tidak ramai yang datang, namun keadaan sebaliknya,” katanya ketika ditemui.

Ahmad Abdillah, 26 dari Paka Terengganu memberitahu beliau datang bersama 15 rakan bagi menyertai perhimpunan Fastaqim.

Beliau menyokong penuh program itu diadakan selepas Kelantan kehilangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada awal tahun ini.

“Sangat molek diadakan program seperti ini. Lagi pun Kelantan terkenal sebagai Serambi Mekah elak diserapi parti serpihan PAS.

“Ini perhimpunan pertama selepas Tok Guru tidak ada. Kelantan di bawah Ustaz Datuk Ahmad Yakob sekarang meneruskan legasi ditinggalkan Tok Guru,” katanya.

Sementara itu peserta perhimpunan menunaikan solat Asar di dua lokasi iaitu di dalam stadium dan dataran stadium.

Solat di dalam stadium diimamkan Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud. Lautan hijau kelihatan di atas pagar di mana sebahagian anak-anak muda berpakaian hijau.

Orang ramai juga sudah membanjiri sebahagian tempat duduk di dalam stadium. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace