Fastaqim: Sasaran 60,000 peserta semakin hampir

ASLANI M | FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Jangkaan 60,000 peserta Himpunan Fastaqim menghampiri sasaran apabila padang bola dan sebahagian tempat duduk dalam Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sudah dipenuhi orang ramai.

Biar pun langit semakin mendung namun ia tidak menghalang orang ramai bertali arus memasuki ruang dalam stadium.

Titisan air hujan mulai turun.

Rumput di atas padang menjadi alas tempat mereka duduk sambil menunggu masuk waktu Maghrib.

Warna hijau kini dapat dilihat di mana-mana ruang dalam stadium. Lampu limpah juga mulai dipasang disebabkan langit semakin gelap.

Orang ramai juga bergilir membuat pengumuman di pentas utama bagi mencari rombongan dan ahli keluarga mereka yang tidak ditemui.

Kehadiran puluhan ribu tentunya sukar bagi rakan-rakan atau ahli keluarga yang terpisah mencari keluarga dan ahli rombongan mereka.

Sejak selepas Asar sehingga sekarang corong pembesar suara tidak berhenti mengumumkan sesuatu.

Suasana semakin hangat dengan lambaian bendera hijau dan negeri-negeri yang dikibarkan peserta di atas padang dan ruang tempat duduk di tangga stadium.

Turut kelihatan berada di stadium  sekarang Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, angota-anggota Exco kerajaan Kelantan dan wakil-wakil  rakyat serta pemimpin PAS dari seluruh negara.

Turut kelihatan juga pemimpin dan rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS  (DHPP) yang terdiri daripada masyarakat Cina dan India datang dari seluruh negara.

Di Dataran Stadium berlangsung persembahan pentas anak muda. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace