Fastaqim: Ramai hadirin tak dapat masuk, melebihi sasaran

ASLANI M | FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Ramai lagi tidak dapat memasuki ruang Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bagi menyertai lebih 60,000 yang berada di padang dan tangga stadium.

Sasaran penganjur melepasi angka yang ditetapkan apabila setiap ruang stadium yang menjadi pentas bola sepak The Red Warriors penuh sesak dengan penyokong PAS dari seluruh negara.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah kemudian diikuti solat hajat yang diimamkan pensyarah Pusat Pengajian Pondok Kandis, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Selepas itu munajat yang dipimpin Ustaz Zulkarnain Hassan dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilam Puri.

Munajat dan zikir berakhir sehingga masuk solat Isyak. Solat Isyak pula diimamkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Stadium Sultan Muhammad Ke-IV penuh dengan lautan manusia yang memakai baju t berwarna hijau bertulis perkataan Fastaqim.

Program bermula jam 9 malam dengan perarakan masuk pemimpin-pemimpin utama PAS dengan menaiki motosikal berkuasa besar dan kereta antik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaiki motosikal dengan didahului perarakan Combi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang menunggang motosikal dengan diboncengi Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Samsuri.

Hadir sama Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Hadir sama hampir kesemua pemimpin utama PAS  yang diketuai Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sasaran penganjur 60,000 kehadiran melebihi apa yang ditetapkan.

“Kita boleh melihat sendiri padang bola sepak penuh sesak dengan lautan manusia. Begitu juga di atas tangga stadium penuh dengan orang ramai.

“Pada saya dianggarkan kira-kira 70,000 hadir pada program malam ini,” ujarnya.

Katanya, situasi itu menggambarkan suatu lonjakan biar pun ketika PAS berdepan dengan masalah dalaman sebelum ini. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace