DHPP mahu pasti Presiden PAS jadi PM

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjanjikan akan terus mendukung prinsip perjuangan PAS sehingga mencapai kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya N Balasubramaniam berkata DHPP mahu memastikan Presiden PAS mampu menjadi perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, PAS bukan sahaja untuk orang Islam sebaliknya sesuai bagi perjuangan semua pihak termasuk orang bukan Islam.

“Kita akan terus mendokong perjuangan PAS sehingga mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang,” ujarnya pada perhimpinan Fastaqim.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, menyeru supaya setiap pendukung PAS terus istiqamah sebagaimana perintah Allah SWT supaya kekal bersama jemaah.

Katanya, PAS berusaha bagi mewujudkan pemerintahan yang menurut nilai-nilai Islam.

Beliau juga berharap ahli-ahli dan pendukung PAS hendaklah mendapat maklumat yang sahih daripada pimpinan serta saluran parti dan bukannya maklumat di tepi jalan.

“Hendaklah kita meyakini jemaah akan semakin kuat dengan melakukan kerja-kerja yang berterusan dan berkorban apa sahaja kerana Allah.

“Teruskan jihad dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya sambil merakam ucapan tahniah kepada Muslimat PAS Kelantan yang menjadi perisai kepada PAS sehingga mampu memerintah sehingga 25 tahun.  

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Muhamad berkata, perhimpunan malam ini mencapai sasaran yang diharapkan hasil sokongan padu semua pendukung PAS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. - HARAKAHDAILY 17/10/2015

Share on Myspace