Skim sewa milik Danasel dibuka kepada orang ramai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Skim sewa milik Danasel Kerajaan Negeri Selangor sekarang dibuka kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, di bawah skim itu mereka yang hendak membeli rumah kos rendah tetapi gagal mendapat pinjaman bank boleh menyewa rumah tersebut daripada kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan membeli rumah yang hendak dibeli dan disewakan kepada mereka.

Walau bagaimanapun, jelasnya apabila mereka telah layak mendapat pinjaman bank maka mereka boleh membeli rumah yang mereka sewa itu.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan menjual rumah tersebut dengan harga jualan yang telah ditolak sebahagian dari sewa yang telah dibayar.

"Tetapi sekiranya penyewa-penyewa masih gagal mendapatkan pinjaman perumahan maka mereka boleh terus tinggal di rumah tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka akan terus membayar sewa sehingga jumlah sewa yang dibayar dapat menampung harga rumah di mana ketika itu rumah tersebut akan menjadi milik penyewa.

"Skim ini diwujudkan untuk membantu mereka yang hendak membeli rumah kos rendah tetapi gagal mendapat pinjaman perumahan," jelas beliau yang juga Adun Chempaka.

Beliau berkata, 2 projek perumahan kos rendah telah dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun ini tetapi pelaksanaan bagi 1 projek ditangguhkan oleh kerana terdapat satu kes mahkamah.

Oleh yang demikian, ujar beliau peruntukan untuk projek tersebut bagi membeli 180 buah rumah kos rendah akan dibuka kepada orang ramai.

Bagi sesiapa yang berminat boleh menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-5544 7906.

Orang ramai juga boleh datang terus ke pejabat LPHS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tingkat 5, Podium Utara, Persiaran Sultan, Seksyen 5, Selangor, 40503 Shah Alam pada waktu pejabat.

Laman web LPHS dan syarikatnya di lphs.selangor.gov.my dan www.phssb.com juga mengandungi maklumat tentang skim ini. - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace