Fastaqim: Obor yang tak akan padam

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

ANTARA gesaan Tuan Guru Abdul Hadi dalam menggagaskan Negara Berkebajikan 2011 lalu termasuklah seruan setiap penggerak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) fokus dalam mengatur gerak kerja. Usah dihirau setiap cemuhan atau tohmahan yang dilemparkan dari pelbagai arah biarpun cemuhan atau tohmahan itu kadangkala amat terasa sakitnya.

Demikianlah juga Himpunan Fastaqim 60k “Fastaqim” yang baru melabuh tirainya semalam tidak lari dari dicemuh atau ditohmah oleh pelbagai pihak. Kadangkala yang menyakitkan lagi, cemuhan atau tohmahan itu datangnya dari mereka yang pernah menangis dan ketawa bersama suatu ketika dulu.

Mengingatkan kembali pesanan dan gesaan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi tersebut, usahlah lagi kita berpaling pada setiap halangan hinggga merencatkan pergerakan bahkan fokus untuk terus mara ke hadapan. Dalam mengikuti Fastaqim semalam, suka saya melakar coretan buat perkongsian bersama pembaca budiman di hujung minggu.

Salah satu program sempena Fastaqim yang telah berlangsung semalam termasuklah Simposium Himpunan Profesional Perubatan dan Kesihatan Istiqamah “SHIFA” yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa. Tidak kurang 500 profesional dalam bidang perubatan dan kesihatan telah menyertai simposium setengah hari tersebut yang datangnya dari seluruh pelosok tanah air.

Simposium yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, YB Ustaz  Idris Ahmad tersebut adalah satu manifestasi sokongan kumpulan profesional kepada PAS yang boleh disifatkan terus utuh. Bahkan saya kira simposium tersebut wajar menjadi motivasi kepada kumpulan-kumpulan profesional lain untuk terus mara bersama PAS dalam mengisi gagasan Negara Berkebajikan.

Apa yang dapat saya simpulkan dari simposium tersebut adalah PAS sentiasa terbuka dan amat mengalu-alukan penyertaan profesional dari pelbagai bidang bagi membantu parti. Pintu PAS tidak pernah tertutup untuk dimasukki oleh setiap mereka yang sedia menyumbang dan bersama membangunkan parti sebagai bakti kepada Islam.

Inklusifnya PAS dalam membuka ruang untuk sesiapa sahaja melengkapkan mana yang kurang dalam memenuhi tuntutan gagasan berkebajikan adalah kelaziman sejak dulu dan tidak terhenti di situ sahaja. Itulah antara komitmen yang sedia dibawa oleh lajnah-lajnah dalam PAS termasuklah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan yang kini dipengerusikan oleh Dr Rosni Adam.

Penerimaan gagasan berkebajikan oleh pelbagai kelompok masyarakat dan profesional kian melata bila mana Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan antara panel yang terlibat dalam simposium tersebut. Tentunya usaha ini tidak terhenti setakat simposium bila beberapa resolusi telah dizahirkan oleh para peserta simposium sebagai iltizam mendukung agenda yang sedang berjalan.

Pembabitan setiap bidang kepakaran dalam PAS adalah aset yang amat berharga dan tidak ternilai. Apatah lagi bila kita memilih medan demokrasi berparlimen bagi mendaulatkan Islam di Malaysia.

Dalam memenangi medan demokrasi ini, usaha memperkuat setiap disiplin dan bidang adalah suatu kewajipan yang mesti disedari oleh setiap pendukung parti. Apatah lagi bila PAS disifatkan antara badan siasah yang menunjangi suasana politik di Malaysia. Situasi semasa yang menjadikan PAS bersendirian perlu dijadikan batu loncatan untuk memperkuat dan memperkukuh gagasan hingga mampu dirasai indahnya islam oleh seluruh rakyat.

Sekadar berkata kita akan mengisi kemenangan dengan Islam, bantuan Allah pasti tiba, atau menanti cahaya kemenangan Islam, tentunya jauh dari mencukupi. Setiap ungkapan kata-kata wajib diisi dengan tindakan dan gerakan yang padu dan terancang dengan sempurna. Di sinilah gandingan kepakaran amatlah didamba sebagaimana yang sering disebut dan diingatkan oleh pimpinan.

Hanya dengan gerak kerja paling optimum dan pergantungan berterusan kepada Allah SWT memungkinkan Tuan Guru Presiden dinobat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jadikanlah Fastaqim 2015 sebagai obor menyemarakkan perjuangan. Jadikanlah ia suatu titik untuk setiap pendukung Islam menyatukan hati, berpadu kekuatan demi meletakkan Islam pada tempat sewajarnya dalam negara. - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace