Fastaqim: 100K ahli PAS ini adalah bukti

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Anggaran 60K, tapi kehadiran lebih 100K. Maka inilah coretan 100K selepas seharian menjiwai Fastaqim.

100K ahli PAS ini membuktikan beberapa kerat pemimpin Pusat yang keluar PAS itu bukanlah sesiapa. Mereka keluar tidak menjejaskan PAS. Mereka keluar hanya dengan labu-labunya.

Walaupun yang keluar menubuhkan parti baru adalah bekas timbalan presiden, keluarnya beliau hanya membawa diri. Ahli yang mengganggotai tetap istiqamah bersama dasar parti. Ini bukti perjuangan PAS tidak berpaksikan individu dan bertaksubkan mana-mana peribadi.

100K ahli PAS ini, membuktikan di mana duduknya batang tubuh Tok Guru Nik Aziz sekiranya beliau masih hidup. Tentunya yang membantu meramaikan stadium adalah orang Kelantan sendiri. Sebelum Fastaqim lagi mereka telah membanjiri Pondok Pasir Tumbuh menyatakan ikrar untuk istiqamah.

Rakyat Kelantan adalah orang-orang yang dibentuk oleh pemikiran TGNA. Mereka lebih kenal siapa TGNA. Selepas TGNA, pengikut setia TGNA masih istiqamah meneruskan saki baki perjuangan beliau dalam PAS. Walaupun PAN mendakwa perjuangan TGNA sekarang diwarisi mereka, hanya orang bodoh yang percaya. Hanya orang buta yang akan mengikutinya. Ini bukti fikrah warisan TGNA tetap bersama PAS.

100K ahli PAS ini, membuktikan PAS adalah parti yang punya masa depan cerah. Rata-rata hadirin adalah anak muda berbagai latar belakang. Selain orang berusia yang masih tak luntur istiqamahnya, kini anak muda pula berebut mewarisi perjuangan suci ini.

Anak muda idealismenya infiniti. Jika mereka sanggup menunduk diri mematuhi Islam, maka bersama kemampuan mereka, Islam yang mereka sanjungi pasti akan meninggi dan bertakhta di watan ini.

Anak muda cermin masa depan negara. Pemimpin PAS yang ada sekarang, hampir semua dulunya adalah pemimpin Dewan Pemuda. Ini bukti semakin musuh cuba memadamkan cahaya Islam, semakin Tuhan menyempurnakan cahayanya.

100K ahli PAS ini, membuktikan PAS adalah parti terkuat ketika ini. Benarlah ucapan Kadir Sheikh Fadzir dan Mustafa Kamil Ayub mewakili suara luar parti. Kebanyakan yang hadir adalah jentera PAS pelbagai peringkat. Mereka begitu semangat mengorbankan segala masa dan wang ringgit demi untuk Fastaqim.

Bukan calang orang yang sanggup hadir tanpa sebarang keuntungan duniawi. Bukan mudah untuk hadir dari jauh hanya untuk mendengar wasiat pemimpin. Bukan orang-orang biasa mereka yang sanggup menyusahkan diri demi untuk hadir.

Sudah tentu kesanggupan ini menggambarkan sikap komited mereka melakukan kerja untuk Islam di tempat masing-masing. Semangat yang disuntik para pimpinan akan dibawa pulang sebagai booster melipatgandakan usaha kemenangan di segenap kawasan. Ini bukti ahli PAS bukan ahli biasa.

100K yang hadir ini, merekalah generasi kemenangan yang dijanjikan Ilahi. Kerana yang datang adalah rakyat biasa. Mereka tidak datang kerana mahu jadi calon atau Perdana Menteri. Mereka tidak datang untuk keuntungan peribadi. Kedatangan mereka membuktikan keikhlasan di hati. Kedatangan mereka membuktikan sabar dalam diri. Kedatangan mereka membuktikan istiqamah sampai mati insyaAllah!

Faktor keikhlasan, kesabaran dan istiqamah sangat penting dalam sebuah perjuangan. Itulah syarat utama sebelum umat Islam dihadiahkan kemenangan. Perjuangan Islam sejak zaman Nabi hingga kini, sentiasa melalui berbagai tapisan dan ujian, untuk mengeluarkan segala anasir tidak ikhlas, tidak sabar dan tidak istiqamah, supaya yang mewarisi kemenangan hakiki hanyalah mereka yang suci dari segala matlamat duniawi.

Inilah bukti kemenangan yang dinanti sudah terlalu dekat dengan kami!

Allah telah pimpin 100K hati-hati manusia menuju Serambi Mekah. Sekiranya hati 100K ini masih tidak berubah, tidak mustahil Tuhan akan pimpin pula hati-hati ini menuju Putrajaya. Fastabshiru bibai'ikumul lazi baya'tum bih! - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace