Pasca Fastaqim: 10 arahan dan peraturan

NASRUDIN HASSAN | .

SAYA dengan segala rendah diri mewakili Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Himpunan Fastaqim (H60K) mengambil kesempatan untuk memohon maaf berbanyak maaf di atas segala kelemahan dan kekurangan pada penganjuran Himpunan Fastaqim yang berlangsung semalam di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan.

Insyaallah, banyak perkara akan diperbaiki untuk masa depan yang lebih baik. Jua setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang menjayakan Himpunan Fastaqim ini khasnya Sekretariat Pelaksana Fastaqim yang bekerja tungkus lumus sejak sebulan yang lalu.

Momentum kebangkitan dan semangat yang menyemarak melalui Himpunan Fastaqim ini jangan hanya berhenti di padang stadium, tetapi mesti diolah dan dikarang dengan lebih kreatif dan teliti bagi menghasilkan karya bermutu tinggi dalam bentuk tindakan strategik dan aktiviti yang efektif untuk mengembeling sumber tenaga dan memanafaatkan segala upaya yang dimiliki.

Jika Kongres Rakyat menghasilkan idea bahan bertindak sehingga kita berjaya mendokumenkan  Pelan Tindakan Rakyat, maka Himpunan Fastaqim pula mencetus semangat juang, menjalin ukhuwwah yang erat antara pejuang dan memperbaharui komitmen untuk bekerja gigih dengan Ikrar Istiqamah.

Kini, persiapan mental telah dikemaskini, persediaan fizikal telah dikombinasi dan pemantapan spiritual telah diabadikan dalam diri setiap anggota jamaah.

Langkah seterusnya ialah melaksanakan 10 peraturan dan arahan berikut:

- mantapkan usrah di setiap cawangan.

- giatkan aktiviti kebajikan masyarakat

- luaskan wilayah enggagement

- tambah ahli baru

- program pengukuhan fikrah dan aqidah

- aktifkan aktiviti Amal Islami

- bina generasi pelapis

- kuasai teknikal dan taktikal pilihan raya

- siapkan kepimpinan negara

- pertahankan prinsip perjuangan

Fokus dan kawal emosi untuk menumpukan perhatian pada gerak kerja turun padang. Usah peduli lagi pada kemuncup perjuangan ini. Juga jangan terpengaruh dengan provokasi musuh.

Kita punya agenda besar untuk jayakan gerakan perubahan ke arah pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang terlaksana di dalamnya nilai dan hukum hakam yang diredhai oleh Allah SWT.

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Penulis ialah Setiausaha Fastaqim - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace