JDT yakin julang Piala AFC, perlu usaha keras

BERNAMA | .

JOHOR BAHARU: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim yakin pasukannya mampu menjulang Piala AFC, namun, memerlukan usaha keras ketika berdepan FC Istiklol pada aksi final, di Dushanbe, Tajikistan, 31 Okt ini.

Safiq berkata buat masa ini motivasi semua pemain berada pada tahap tinggi dan tidak mustahil mampu merangkul kejuaraan sekiranya mematuhi percaturan Ketua jurulatih, Mario Gomez.

"Bagi saya, kita (JDT) tidak mempunyai masa untuk rehat. Kita kena lebih bekerja keras, mengikut 100 peratus yang diajar jurulatih dan saya percaya JDT boleh membawa pulang Piala AFC," katanya.

Safiq ditemui pemberita selepas aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi yang menyaksikan JDT mudah membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 4-0.

JDT mencipta sejarah menjadi pasukan negara pertama layak ke final Piala AFC sejak ia diperkenalkan pada 2004 dan skuad itu bersama FC Istiklol layak secara automatik selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA).

Ia susulan keputusan kerajaan Kuwait yang mahu melaksanakan undang-undang sukan baharu yang mengancam autonomi KFA sebagai badan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Menurut Safiq, JDT sudah banyak berkorban untuk berada pada tahap sekarang dan percaya pasukan itu juga mampu mencatat kemenangan di halaman sendiri sekiranya perlawanan berdepan Al-Qadsia SC yang sepatutnya berlangsung Selasa ini, tidak dibatalkan.

"Sekarang, ita sudah dapat peluang ke final dan kita tidak pernah masuk ke peringkat seumpama ini. Kita mahukan sesuatu yang kita tidak pernah dapat, jadi, kita mahukan piala itu," katanya sambil meminta seluruh penyokong bola sepak mendoakan kejayaan pasukan itu.

Safiq berkata skuad Harimau Selatan dijangka berlepas ke Dushanbe, Tajikistan, selepas perlawanan menentang Sarawak pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia, 26 Okt depan.

Katanya pasukan itu tidak mempunyai masalah cuaca untuk beraksi menentang FC Istiklol kerana semua pemain sudah mempunyai pengalaman dan tumpuan hanya dipersiapkan dari segi mental serta fizikal. - Bernama

Share on Myspace