Fastaqim: Ingat ikrar untuk terajui bahtera perjuangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Syukur alhamdulillah Fastaqim H60K berjaya diadakan dengan kehadiran di luar jangkaan yang membuktikan komitmen ahli dan penyokong PAS kepada jamaah Islam yang dicintai ini.

"Ingat ikrar yang dilafazkan bersama-bersama untuk menerajui bahtera perjuangan ini membawa obor Islam ke persada tanah air," ujar Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) itu menggesa pendukung parti agar memperkukuhkan tarbiyah di semua peringkat akar umbi parti kerana tarbiyah adalah teras istiqamah.

"Lebarkan dakwah Islam kepada segenap masyarakat," ujarnya menerusi laman facebook.

Kepada bukan Islam, ujar beliau ketahuilah Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini menjamin hak-hak mereka dari sudut berugama, adat dan muamalat.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat Islam Melayu agar marilah bersama-sama PAS menyelamatkan negara dengan Islam bukan dengan perkauman Melayu sempit yang telah terbukti kegagalannya satu persatu.

Bukan juga, katanya dengan golongan yang bertopengkan Islam akan tetapi hanya menjadi 'pak turut' kepada golongan yang mempunyai agenda terhadap Islam.

"Yakinlah bahawa kemenangan Islam adalah pasti kerana ianya janji Allah dan Dia sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya. Bila dan bagaimana ianya berlaku itu bukan urusan kita.

"Kewajipan kita ialah untuk terus istiqamah memperjuangkan ugamanya dengan penuh keikhlasan kepada Allah," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace