Generasi muda tidak tahu siapa Tok Janggut

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Bukan sekadar seorang ulama, Tok Janggut turut berjuang menentang penjajah yang mengenakan cukai terhadap rakyat.

Nama sebenarnya Haji Mat Hassan Munas menentang penjajah yang memunggut cukai daripada orang kampung.

Akhirnya tokoh ulama terkenal itu digantung penjajah kerana bangkit bersama penduduk kampung menentang penjajah.

Ia dianggap tidak jauh berbeza cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan Barisan Nasional sekarang.

Oleh itu bagi membolehkan generasi muda mengenali lebih dekat lagi siapa Tok Janggut, mereka berpeluang melihat dari dekat sejarah hidup pada pameran yang diadakan di Muzium Negeri bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman selain Tok Janggut turut diadakan pameran Sultan Muhammad Al Fateh dan mumia firaun.

Katanya, perjuangan Tok Janggut menentang penjajah yang mengenakan cukai terhadap rakyat tidak banyak diketahui generasi muda sekarang.

“Diharap melalui penganjuran pameran tersebut membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat tokoh-tokoh pejuang Islam yang cukup dikenali sebelum merdeka,” katanya di sini.

Menurutnya juga pameran Sultan Muhammad Al Fateh diadakan kerana akhlaknya sebagai seorang ulama dan pemerintah yang berjaya menawan Kota Constantinople.

Manakala sejarah firaun diketengah bagi memberi iktibar kepada umat Islam sekarang kesudahan hidup mereka yang menentang perjuangan Islam dibawa Nabi dan Rasul.

Selain itu buku dialet Kelantan yang baru diterbitkan turut dijual kepada orang ramai.

Md Anizam berkata, pameran itu akan diadakan dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Kelantan Trade Centre esok.

Katanya, program berkenaan diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-25 dasar Membangun Bersama Islam.

Pameran berkenaan bermula 8.30 pagi hingga 5 petang turut dibuka Jumaat dan Sabtu. Bayaran dikenakan dewasa RM5 dan kanak-kanak RM3.

Pelajar sekolah pula dikenakan harga istimewa.

Pengarah Muzium Negeri, Dr Nik Azlan Abdul Hadi berkata, pelbagai program menarik diadakan sempena perasmian esok termasuk ceramah motivasi bersama selebriti dakwah Ustaz Muhamad Syaari Abdul Rahman.

Selain itu pentomen mengenai Tok Janggut juga akan dipentaskan dan seminar Tok Janggut. - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace