Ulama kelihatan berpecah kerana tidak satu wadah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sudah sampai masanya ulama-ulama di seluruh Nusantara digabung di bawah satu bumbung bagi menyelesaikan masalah ummah secara lebih komprehensif.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata sekiranya seluruh ulama yang berada di rantau Nusantara dapat dihimpunkan dalam satu organisasi ia dapat membantu mengurangkan bebanan dihadapi kalangan mereka.

Katanya, organisasi yang mantap seumpama sebuah bangunan yang tersusun rapi.

“Allah SWT akan tolong orang yang berada dalam jemaah berbanding mereka yang bersendirian di luar jemaah. Duduk bersendirian lebih mudah dihasut syaitan,” katanya sempena Ijtimak Pondok Nusantara di Balai Islam, semalam.

Perasmian ijtimak tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata negeri, Datuk Nassuruddin Daud.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco, Mufti, Datuk Mohd Shukri Mohamad dan pegawai kanan kerajaan.

Turut diundang wakil Majlis Permusyuaratan Rakyat Republik Indonesia, Dr H M Hidayat Nur Wahid, Ketua Jamiah Ulama Fatoni Thailand, Tuan Guru Abdul Karim Hasbullah dan Ismail Ishaq Benjasmith Al-Fathoni.

Peserta ijtimak tersebut mewakili pondok di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Kempuchea.

Program berkenaan merupakan kali kedua dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat Pembangunan Pondok Bhd.

Dr Haron juga berkata ulama-ulama di Malaysia kelihatan berpecah kerana mereka tidak berada di bawah satu wadah.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Kelantan kerana menganjurkan program berkenaan membabitkan ulama dari kepulauan Nusantara.

Nassuruddin sebelum itu berkata apabila ulama tidak memainkan peranan mereka masyarakat akan kelihatan lesu.

“Sebab itulah kerajaan negeri menganjurkan ijtimak tersebut bagi menentukan hala tuju lebih jelas sebagai sebuah institusi ulama di Nusantara.

“Selain itu bagi melahirkan pemikiran ulama di masa hadapan dan memperkasakan institusi ulama bagi memayungi umat Islam, “ ujarnya.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata tugas ulama begitu mencabar bagi mendepani wabak kejahilan yang melanda umat Islam sekarang.

Katanya, ulama perlu berada di barisan hadapan bagi memimpin ummah. - HARAKAHDAILY 19/10/2015  

Share on Myspace