Sumbangan pada Himpunan Fastaqim RM209,577

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang dibiayai sepenuhnya dari poket ahli dan penyokongnya," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Katanya, PAS menerima sumbangan derma dari ahli secara terbuka dan mengisytiharkannya juga secara terbuka.

Menurutnya, pada kebiasaannya PAS akan umum jumlah penerimaan sumbangan itu di akhir majlis.

Bagaimanapun, jelasnya sumbangan di majlis Himpunan Fastaqim tidak dapat diumumkan kerana kelewatan kiraan untuk memuktamadkan jumlahnya.

"Insya Allah keseluruhan wang sumbangan itu tidak akan masuk mana-mana akaun peribadi melainkan ianya adalah untuk membiayai kos penganjuran Himpunan Fastaqim serta kegunaan parti untuk aktiviti Amal Islami dan gerak kerja parti yang memperjuangkan Islam dan syariatnya.

"Suka saya maklumkan bahawa perkara ini tidak perlu menjadi polemik dan fitnah," katanya yang juga Setiausaha Fastaqim.

Beliau memaklumkan jumlah sumbangan yang diterima pada Himpunan Fastaqim di Stadium Sultam Muhammad IV, Kota Bharu ialah RM209,577 sahaja.

"Terima kasih kepada semua penyumbang dan yakinlah sumbangan anda akan digunakan sepenuhnya untuk aktiviti Amal Islami di bawah gerak kerja PAS," katanya. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace