Siasatan IS: Adakah selepas isu 'derma' RM2.6 bilion?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta kerajaan menjelaskan bilakah siasatan yang dibuat terhadap mereka yang terlibat dengan kumpulan militan Islamic State (IS).

Beliau turut mempersoalkan adakah siasatan dilakukan selepas isu penerimaan 'wang derma' RM2.6 bilion.

"Semalam lima orang rakyat negara ini ditahan di lapangan terbang selepas pemeriksaan Imigresen ketika ingin ke Turki.

"Salah seorang dari mereka adalah anak kepada anggota polis yang ingin melanjutkan pelajaran di sana," soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.

Tambah beliau lagi, adakah pihak polis hanya akan bertindak apabila suspek ingin ke luar negara sahaja dan jika tidak mereka bebas berada di negara ini.

"Saya terkejut bagaimana pihak polis bekerja, seolah-olah jika mereka tidak ke luar negara mereka bebas berada di dalam negara.

"Tidakkah ada cara lain untuk polis bertindak dan bila siasatan ini dilakukan," soal beliau lagi.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menjawab pertanyaan tersebut meminta semua pihak memberi kepercayaan tindakan yang dilakukan pihak polis dalam isu membabitkan IS berdasarkan maklumat dari Agensi Antarabangsa.

Namun beliau tidak menjawab pertanyaan sama ada siasatan tersebut dilakukan selepas isu penerimaan 'wang derma' RM2.6 bilion.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dalam soalan asal meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tahap keselamatan negara ketika ini dan mengapa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan. - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace