MP kemuka usul undi tidak percaya terhadap PM

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan penerimaan 'wang derma' berjumlah RM2.6 bilion.

Usul itu berada pada giliran ke-25 di bawah aturan urusan mesyurat dan usul-usul pada Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas yang bermula hari ini.

Hee dalam usul itu menyatakan Najib pada mulanya menafikan penerimaan wang tersebut kemudian mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal, namun akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.

Menurutnya, Perdana Menteri dalam kenyataannya juga tidak menjelaskan mengapa 'wang derma' itu dimasukkan ke akaun peribadi dan bukannya atas nama parti.

Beliau turut tidak berpuashati ke atas siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan di mana 'Special Task Force' yang sepatutnya menyiasat skandal itu dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan.

Tambah beliau, disebabkan masalah tersebut, Perdana Menteri telah menjejaskan imej negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sehingga ekonomi menjadi tidak stabil serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat.

Atas sebab tersebut, ujarnya rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Najib sebagai Perdana Menteri dan dewan perlu mengambil ketetapan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace