Perubahan di Kelantan jadi ikutan negeri lain

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sejak ulama mentadbir Kelantan 25 tahun lalu pelbagai perubahan dilakukan yang kini menjadi ikutan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Adnan Hussin berkata antara perubahan yang dibuat perbankan Islam, pajak gadai Islam, kurikulum pengajian Islam dan penubuhan sekolah tahfiz sains.

Katanya perubahan itu menyebabkan Kelantan mendapat perhatian di Malaysia.

Oleh itu, kata beliau pada malam 20 Oktober ini (esok) sambutan Jubli Perak Membangun Bersama Islam (MBI) peringkat negeri akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

“Tahun 2015 genaplah 25 tahun permintahan kerajaan negeri yang beraksikan dasar MBI. Dasar keramat ini dicetus mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya pada kenyataan di sini.

Program tersebut akan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Pelbagai acara diadakan termasuk persembahan kebudayaan rakyat Kelantan terdiri kaum Melayu, Siam, India dan Cina.

Selain itu persembahan brass band, permainan kapal terbang kawalan jauh dan nasyid. Turut diadakan tribut kepada arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz dan penganugerahan Tokoh Sambutan Jubli Perak MBI.

Kemuncak sambutan terbabit ialah laungan takbir mengiringi kiraan detik genap 25 tahun dasar MBI dan pertunjukkan bunga api.

Kata Adnan persembahan kebudayaan pelbagai kaum itu menunjukkan keharmonian kaum yang wujud di bawah dasar MBI.

Sehubungan itu rakyat Kelantan dijemput menghadiri program berkenaan. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace