Anggota Jabatan Amal maut pulang dari Fastaqim

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

MARAN: Timbalan Komandan Jabatan Amal Maran yang juga anggota ARC, Samsuhaimi Che Mat, 46, maut dalam kemalangan KM 317.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) jam 12.45 malam tadi sekembalinya daripada program Himpunan Fastaqim.

Pengarah ARC Pahang Shamsuri Hussein berkata, Allahyarham membonceng motosikal seorang rakannya untuk pulang ke kampungnya di Sungai Ling di sini, dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

Samsuhaimi yang dikejarkan ke hospital Kemaman, cedera parah di kepala dan leher sementara rakannya Adi Ahmad hanya cedera ringan.

“Allahyarham bersama konvoi ARC bertolak ke Kota Bharu pada hari Sabtu bagi menjalankan tugas di Himpunan Fastaqim (H60K) dan mulai bertolak pulang malam semalam.

“Jenazahnya dibawa pulang dari Hospital Kemaman jam 10.40 pagi tadi dan dibawa terus ke Masjid Arrusydan Kampung Paya Pasir selepas Solat Zuhur hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Allahyarham yang masih bujang, bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Paya Pasir dan tinggal bersama seorang adik dan ibu angkatnya.

“Kami yang rapat dengan arwah, amat terasa kehilangannya. Beliau yang terlibat dengan Jabatan Amal, ARC dan DACS adalah seorang yang amat komited dengan tugasannya dan tidak banyak karenah,” kata Shamsuri. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace