Qardhawi tolak wujud dua parti Islam di Malaysia

ASLANI M Foto MIJIE YUSOF | .

TUMPAT: Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Qardhawi menjelaskan tidak perlu diwujudkan sebuah lagi parti berorientasikan Islam di Malaysia.

Naib pengerusi badan itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata reaksi itu dibuat tokoh ulama terkenal tersebut ketika menerima kunjungan rombongan dari Malaysia baru-baru ini.

“Alasannya kerana di Malaysia sudah ada PAS. Jadi beliau kata tidak wajar tubuh parti baru yang juga berpaksikan Islam,” katanya ketika merasmikan Wisma I'badurr Rahman di Kampug Morak malam tadi.

Wisma tersebut setinggi dua tingkat akan menempatkan pejabat Majlis Tindakan Dun Pasir Pekan dan markas tarbiah. Ia baru siap dibina membabitkan kos kira-kira RM800,000.

Perletakan batu asas dilakukan bekas Mursyidul Am Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2013.

Hadir sama pada program berkenaan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Naib Presiden Datuk Mohd Amar Abdullah, Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS N Bala Subramanian.

Selain itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim.

Pada program itu juga Ustaz Ahmad yang Menteri Besar menyerah 1,000 borang permohonan menyertai PAS kepada Presiden.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata beliau diminta Dr Yusof Qardhawi hadir pada persidangan Islam di Turki baru-baru ini bagi menjelaskan situasi yang berlaku di Malaysia sekarang.

Dr Harun pula menjelaskan Majlis Syura Ulama akan terus mempertahankan dasar PAS sampai bila-bila.

“Kita buat kerja dan kemenangan adalah hak Allah Taala untuk memberinya selepas kita bekerja memenangkan perjuangan Islam.

“Kita tidak mahu kemenangan diraih tanpa mendapat keredhaan Allah Taala,” ujarnya.

Bala Subramanian berkata PAS tidak pernah meminggirkan orang bukan Islam dan situasi seperti itu tidak berlaku dalam Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace