Dendam: Serangan DAP pada PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Serangan Lim Kit Siang terhadap PAS menggambarkan dendam DAP yang tidak pernah padam terhadap PAS yang kini dianggapnya sebagai musuh nombor satu DAP.

"Seorang pemimpin politik yang rasional betapa tinggi pun kemarahannya terhadap sesuatu mesti menyemak dulu fakta sebelum melontarkannya," kata Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Kalau tidak, tegas beliau ia akan mendedahkan kejahilan diri sendiri dan sikap suka memfitnah terhadap orang lain.

Terbaru, katanya ialah kenyataan Lim untuk menangani persepsi bahawa PAS itu Islam dan Islam itu PAS.

"Dari mana sumbernya yang Lim ambil menganggap PAS itu Islam dan Islam itu PAS?" tanya beliau.

Mustafa menambah, Lim tidak perlu pergi jauh.

"Beliau hanya perlu bertanya saja kepada kawan-kawan beliau pemimpin Amanah yang berasal dari PAS - apakah selama mereka bersama PAS, mereka juga turut berpersepsi PAS itu islam, dan Islam itu PAS sebagaimana yang dicanang oleh Lim," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, apa yang dinyatakan oleh pimpinan PAS ialah PAS adalah satu-satunya wadah Islam yang memperjuangkan Islam yang syumul yang mencakupi politik dakwah, ekonomi tarbiah, pendidikan perundangan dan kemasyarakatan serta prinsip-prinsip keadilan yang menyeluruh.

"Saya menasihatkan Lim supaya lebih berhati-hati dalam kenyataannya yang berkait dengan Islam.

"Janganlah beliau merasakan beliau sudah memahami Islam sesudah menemui beberapa orang tokoh Islam dunia," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace