1MDB: PAC masih ada struktur jawatankuasa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad menegaskan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedia ada terus berfungsi kerana masih mempunyai struktur jawatankuasa.

Katanya, walaupun pengerusi PAC meletakkan jawatan namun dalam masa yang sama timbalannya masih ada sekali gus menunjukkan PAC terus berfungsi.

"Korum masih cukup, cuma pengerusi sahaja yang tidak ada. Timbalan ada dan dia boleh mengganti untuk meneruskan mesyuarat," katanya ketika mencelah dalam sesi perbahasan usul pelantikan pengerusi PAC yang baru di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun, menolak pandangan Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar bahawa PAC tidak terpakai kerana pengerusinya meletakkan jawatan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed meletakkan jawatannya pada 29 Julai 2015 setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sekaligus siasatan terhadap kes 1MDB terpaksa ditangguhkan.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin dipilih sebagai Pengerusi PAC yang baharu.
 
Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Pelantikan ini juga termasuk pelantikan ahli jawatankuasa baharu PAC yang terdiri daripada enam Ahli Parlimen daripada BN dan Pembangkang.

Ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen Ketiga Belas sebelum ini, yang diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bertanggungjawab melantik Ahli Jawatankuasa PAC.

PAC yang baharu ini akan memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai syarikat pelaburan negara itu disiapkan untuk diteliti oleh PAC. – HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace