Tribut Tok Guru runtun jiwa ribuan ulama

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Tayangan klip video bertajuk tribut Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata meruntun perasaan ulama yang memenuhi Dewan Besar Balai Islam Lundang semalam.

Selepas sembilan bulan bekas Menteri Besar itu pergi meninggalkan kita, semalam suara dan gambar rakaman sejarah hidup muncul semula di layar.

Paling menyentuh perasaan rakaman gambar puluhan ribu yang hadir mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan Islam di Pulau Melaka membuatkan ramai tidak mampu menahan rasa sebak.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kepimpinan Allahyarham begitu unik sehingga berjaya menyentuh hati masyarakat bukan Islam.

Katanya hasil usaha dan gerak kerja dakwahnya memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam sehingga kini ramai menyokong PAS.

“Pemergiannya membuatkan masyarakat semakin rindu. Semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas rohnya,” ujarnya ketika membentang kertas kerja Tok Guru Nik Abdul Aziz Sebagai Murabi Ummah pada Ijtimak Ulama Nusantara 2015.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia berkata, parti itu sedia memikirkan semula peraturan lafaz baiah taklik bagi calon-calon wakil rakyat PAS di Kelantan.  

Bagaimanapun katanya, pertimbangan itu perlu mengambil kira suasana semasa yang berlaku di Kelantan sekarang.

Namun lafaz baiah taklik tidak dihiraukan segelintir wakil rakyat PAS apabila menyertai parti lain baru-baru ini.

Sebelum ini bekas anggota parlimen PAS, Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) menyertai PKR dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai) kini PAN Wilayah Persekutuan.

Lebih 2,000 ulama dari dalam dan luar negara menyertai Ijtimak Ulama Nusantara anjuran kerajaa negeri dan Pusat Pembangunan Pondok Bhd. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace