Fastaqim: Jauh pada jarak, dekat pada hati

DR ALIAKBAR GULASAN | .

PAS Sabah mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta Himpunan Fastaqim dari seluruh pelosok negara, yang pada anggaran melebihi angka 100,000 orang.

Peserta dari negeri Sabah juga mencecah hampir 100 orang.

PAS Sabah melihat, himpunan ini menzahirkan beberapa gambaran dan pesanan. Pertamanya, Fastaqim diadakan pada bulan Muharram. Bulan pertama dalam kalendar Islam.

Pastinya PAS berhajatkan agar ahli, penyokong dan pendokong, orang bawahan dan pimpinan agar terus istiqamah dengan Islam pada bulan-bulan yang mendatang dan seterusnya tahun-tahun selepas daripada ini.

Keduanya, kelompok yang keluar daripada PAS dan ditambah oleh sebaran media tertentu menggambarkan seolah-olah keyakinan kepada jemaah ini sudah tiada. Tetapi atas kehadiran pada malam tersebut, ternyata semuanya meleset.

Sesuai dengan apa yang diungkapkan oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam ucapannya pada malam tersebut, kehadiran ini adalah melalui keikhlasan semua.

Ketiga, dalam perjuangan Islam ini, jarak bukanlah pemisah. Ikatan hati adalah penentu. Ternyata yang hadir pada malam tersebut datang dari Perlis sampai ke Sabah, semuanya ada.

Ternyata PAS masih kukuh. Masih menjadi tunjang kepada agama dan negara. Memetik ucapan Presiden, biarlah mereka yang pergi terjun dengan labu-labunya.

PAS Sabah yakin, jemaah Islam ini akan bertambah kukuh. Mereka yang istiqamah inilah yang akan menjulang kejayaan, sama ada di dunia ataupun di hadapan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 19/10/2015

Penulis ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah

Share on Myspace