Isu Rohingya: Libatkan soal agama dan kemanusiaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan sikap "double standard" yang ditunjukkan oleh negara antarabangsa dalam menangani konflik etnik Rohingya di Myanmar.

Katanya, hanya kerana ia melibatkan golongan Islam yang minoriti di negara tersebut ia kurang mendapat perhatian serius dari mana-mana pertubuhan.

Beliau dalam soalan tambahannya hari ini mendesak satu langkah yang lebih tegas melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) supaya mengambil tindakan terhadap negara Myanmar.

Katanya, isu ini hakikatnya melibatkan soal agama dan kemanusiaan sejagat bahkan ia sudah melampaui batas kemanusiaan.

"Sikap keras yang belarutan menekan mereka dan keadaan ini berbeza dengan peristiwa di Bosnia di mana PBB membuat keputusan yang sangat tegas," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau juga membangkitkan peranan kerajaan dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) khususnya pelarian Rohingya yang berada di dalam negara ini.

"Mereka yang sudah datang ke sini hadapi masalah kehidupan dan pendidikan. Bagaimana kerajaan membantu mereka melalui NGO," katanya.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman turut bersetuju bahawa isu pengiktirafan taraf kewarganegaraan etnik Rohingya sangat rumit.

Namun, katanya usaha perundingan melalui Myanmar sering berjalan dan mereka turut berjanji akan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

"Kita akan terus berusaha. Penglibatan masyarakat antarabangsa juga penting. Saya akui setiap perjumpaan yang diadakan, topik Rohingya selalu dibangkitkan," katanya ketika menjawab soalan Presiden PAS itu.

Dalam soalan asal, Tuan Guru meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian dan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dan rakyat Rohingya di Arakan. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Share on Myspace