Rumah Selangorku lebih murah berbanding PR1MA

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Skim perumahan Rumah Selangorku adalah lebih murah berbanding Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tawaran yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kepada penduduk di negeri itu sangat berbaloi.

“Memang tidak dinafikan Rumah Selangorku jauh lebih murah. Lihat sahaja PR1MA tawaran RM400,000 masih dianggap mampu milik berbeza di Selangor.

“Kita patut memuji usaha kerajaan negeri menyediakan rumah serendah RM42,000 sahaja kepada golongan kurang berkemampuan menerusi rumah kos rendah,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu memperbanyakkan rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyatnya bagi menjamin mereka dapat memiliki aset penting dalam kehidupan.

“Diharap kerajaan negeri meneruskan pembinaan Rumah Selangorku kepada penduduk negeri itu agar ia boleh dinikmati oleh semua golongan kurang berkemampuan dan membantu mereka mendapatkan rumah walaupun menghadapi halangan daripada pihak bank,” katanya.

Kerajaan negeri menyasarkan membina 20,000 Rumah Selangorku dalam tempoh dua tahun lagi.

Manakala bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang gagal mendapatkan pinjaman rumah dibantu melalui Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku.

PR1MA menawarkan Rumah Mampu Milik dengan harga RM400,000, manakala Selangor harga rumah skim Rumah Selangorku adalah RM42,000 hingga maksima tidak melebihi RM250,000.

Share on Myspace