Pengundi Kuala Krai sedia hadapi saman Dr Hatta

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Seorang pengundi di Parlimen Kuala Krai bersedia berhadapan saman anggota parlimen kawasan itu Dr Mohd Hatta Ramli bagi mempertahankan kewibawaan PAS.

Seorang pengundi Ali Omar, 28 berkata berapa pun harga terpaksa dibayar demi perjuangan Islam mereka sanggup.

“Saya dan rakyat Kuala Krai sentiasa bersedia jika makhamah dunia tidak cukup, maka nantilah makhamah Allah SWT di akhirat nanti.

“Setiap kejahatan dan pengkhianatan yang kita lakukan sudah pasti akan dipersoalkan oleh-Nya kelak,” katanya di sini.

Sebelum ini Ali menulis di laman facebooknya mengenai dakwaan pengkhianatan ahli parlimen Kuala Krai yang diundinya pilihan raya lepas.

Menurutnya beliau menulis mengenainya ekoran kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad yang meminta wakil rakyat PAS melompat parti merujuk ke mahkamah kerana mereka terbabit baiah taklik.

Berikutan itu anggota parlimen terbabit mengugut mahu menyaman Ali di mahkamah melalui sepucuk surat yang dihantar peguam bertarikh 13 September lepas.

“Saya menulis dalam keadaan sedar dan berpaksikan kepada hukum-hakam agama Islam yang kita semua anuti.

“Pengkhianatan dilakukannya apabila melompat parti kepada Amanah dengan melanggar baiah serta lafaz cerai taklik.

“Dr Hatta meneruskan langkah tidak bijak menyaman saya selaku rakyat dan pengundi di sini pada pilihan raya lalu,” katanya.

Ali juga berkata, beliau sedang mendapatkan salinan lafaz baiah dan cerai taklik ditandatangi Dr Hatta untuk dirujuk ke Makhamah Syariah. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Share on Myspace