GST: Bayaran balik jejas aliran tunai peniaga

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Semenjak GST diperkenalkan April lalu kerajaan masih belum dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik, akibatnya peniaga dan rakyat terus menjadi mangsa.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad berkata, dengan adanya mekanisma serta gerak kerja yang ditubuhkan sebaik GST diperkenalkan, sepatutnya sistem ini tidak wajar dipertikaikan.

Malangnya kata beliau, pihak kerajaan mengakui peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai (cashflow) peniaga.

"Sudahlah waktu perkenalkan GST harga barang sudah naik 20 hingga 30 peratus tambah lagi enam peratus GST.

"Ini pula lambat bayar balik kepada peniaga menyebabkan aliran tunai peniaga terjejas, ini meningkatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan," katanya ketika ditemui.

Tambahnya yang juga Naib Presiden PAS, pengguna akhirnya akan menanggung kenaikan harga dua kali ganda.

Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya menghapuskan pelaksanaan GST ini kerana ternyata kerajaan gagal untuk melaksanakan sistem ini dengan baik.

"Kononya buat GST hendak kembalikan balik wang kepada rakyat. Malangnya permulaan sudah ternyata gagal. Kerajaan hanya fikir mereka mesti dapat duit sahaja," ujarnya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong semalam semasa menjawab soalan lisan telah mengesahkan bahawa sejak GST dilaksanakan, hanya 41% daripada bayaran balik GST (GST refund) yang dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh borang GST (GST return) difailkan.

Ini bermakna 59% dari bayaran balik GST setakat ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

59% daripada peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai peniaga.

Malah kerajaan turut mengesahkan selama ini kerajaan lewat membayar balik GST kepada peniaga-peniaga. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Share on Myspace