Pulau Pinang digesa batal projek tambak laut

SM MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan projek tambak laut yang akan dilaksanakan di Permatang Damar Laut dekat Batu Maung di sini kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 300 nelayan pantai di kawasan itu.
 
Dalam tinjauan yang dibuat, selain zon tangkapan nelayan pantai akan menjadi sempit CAP mendapati perkampungan mereka dan hutan di sepanjang Pantai Indah di sini juga akan turut musnah jika projek berkenaan diteruskan.
 
Ketika ini kerja-kerja mengukur dan menanda kawasan sedang dilakukan oleh pihak pemaju yang terlibat dengan projek berkenaan. CAP kesal kerana penduduk tempatan tidak diberitahu secara rasmi oleh kerajaan negeri ini dan mereka tidak mengetahui tujuan sebenar projek tersebut menyebabkan ramai merasa bimbang memikirkan kehidupan masa depan mereka.
 
CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang mendedahkan kepada umum apakah tujuan sebenar projek tambak laut akan dilaksanakan di kawasan ini. CAP bimbang, jika projek ini dilaksanakan ia bukan saja boleh mengancam aktiviti dan kehidupan nelayan tempatan, tetapi juga boleh menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.  Nasib nelayan di Permatang Damar Laut akan sama seperti yang di hadapi oleh nelayan-nelayan di Tanjong Tokong dan Sungai Gelugor jika kawasan tangkapan mereka ditambak untuk projek pembangunan.
 
Justeru CAP berharap kerajaan negeri ini membatalkan rancangan projek tersebut sebaliknya membantu nelayan di kawasan ini meningkatkan hasil tangkapan mereka dan menyelesaikan masalah ancaman pencemaran sisa lumpur yang sudah lama berlaku dan hingga sekarang ia belum dapat ditangani secara berkesan malah keadaan tersebut kini semakin serius mencemarkan laut di kawasan berkenaan.
 
CAP kesal terdapat sisa lumpur yang tebal mendap di kawasan pantai di sini dan ramai pengunjung yang datang kecewa dengan kejadian tersebut. Selain laut tercemar dengan serius, masalah ini juga turut menyebabkan sumber perikanan terancam dan hasil tangkapan nelayan merosot lebih 50% sejak ia mula berlaku dua tahun yang lalu.
 
Para nelayan pantai di sini mendakwa mereka sukar untuk melabuhkan pukat kerana tersangkut pada sisa kayu atau besi menyebabkan ia menjadi rosak. CAP meminta kerajaan Pulau Pinang menyiasat masalah ini dan membantu nelayan terbabit yang sudah sekian lama hidup sengsara akibat kejadian itu. Pampasan sewajarnya perlu diberikan kepada mereka bagi meringankan beban tanggungan sara hidup keluarga masing-masing. – HARAKAHDAILY 20/10/2015
 
Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Share on Myspace