Laungan takbir semarak ulang tahun 25 Kelantan MBI

ASLANI M | .

KOTA BHARU:  Malam tadi tepat detik 12 tengah malam laungan takbir dilaungkan lima kali sebagai tanda genap 25 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang memayungi Kelantan sejak 20 Oktober 1990.

Gemuruh seluruh stadium dengan laungan penuh bersemangat itu selepas gagasan MBI dijelmakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah menduduki kerusi Menteri Besar pada tanggal tersebut.

Turut melaungkan takbir Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Sebelum detik tengah malam menjelma ribuan yang hadir menyaksikan persembahan kebudayaan dan hiburan Islam begitu mengujakan.

Persembahan kebudayaan India, Cina, Siam dan Melayu dipertontonkan oleh pelajar-pelajar Universiti Malaysia Kelantan.

Selain itu orang ramai juga disajikan persembahan dikir barat, nasyid dan lagu-lagu bertema ketuhanan oleh penyanyi Iwan dan jemputan dari Indonesia.

Persembahan kapal terbang dan helikopter kawalan jauh turut menarik perhatian orang ramai.

Persatuan pemilik automobil antik, Volkswagen, Viva, Land Rover, Alza, Kancil, motosikal berkuasa besar dan SYM pula mengambil bahagian mempamerkan kenderaan mereka di dalam stadium.

Pemilik-pemilik kenderaan terbabit menerima sijil penyertaan daripada Menteri Besar sejurus  tiba di padang stadium kira-kira jam 11 malam.

Timbalan Menteri Besar berkata sambutan tersebut merupakan acara kemuncak terhadap program sambutan MBI yang bermula sejak awal tahun ini.

“Sejak awal tahun sudah bermula beberapa program sambutan Jubli Perak MBI yang akan berakhir  sehingga hujung 2015.

“Program yang diadakan sebelum ini termasuk sambutan MBI peringkat zon utara di Pasir Mas, zon tengah di Machang dan zon selatan di Gua Musang.

“Menjelang sambutan malam ini turut diadakan program Perhimpunan Ulama dan Guru-guru Pondok Kelantan dan Ijtimak  Ulama Nusantara,” katanya pada program berkenaan.

Mohd Amar juga berkata dasar MBI yang diasaskan arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus memberi suntikan semangat kepada kita untuk membangunkan Kelantan. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace