OKU tuntut pelepasan GST dalam belanjawan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pembentangan belanjawan 2016 ini ditunggu dengan serius oleh banyak pihak termasuk OKU. Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Mohammad Faizal Che Yusof.

“Pembentangan belanjawan 2016 adalah masa terbaik untuk pihak kerajaan mengkaji kesan dan penambahbaikan kepada perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan “GST” yang dikenakan khusus kepada warga Negara orang kurang upaya “OKU”.

“Kami penuh yakin bahawa kerajaan amat sedar kesan kenaikan barang sebaik GST dilaksanakan. Sesungguhnya ia amat membebankan OKU dan juga ibu bapa / penjaga anak-anak OKU,” kata Faizal yang juga Ahli Jawatankuasa, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Menurut beliau, pelaksanaan GST memberi kesan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berteraskan perkhidmatan kepada OKU.

Dengan pelbagai keperluan khusus bagi OKU yang mahal selain barang-barangan umum, kenaikan akibat GST perlu ditangani sewajarnya.

Justeru, pihaknya mencadangkan pihak kerajaan mengadakan satu mekanisme khusus bagi mengatasi permasalahan tersebut:

1. OKU dan NGO berkaitan OKU diberikan pengecualian pembayaran GST terhadap barangan keperluan harian dan barangan khusus yang diperlukan OKU.

2. Mekanisme pengecualian khusus yang disebut sebagai (0 rated) diberikan kepada NGO berkaitan OKU bagi membolehkan NGO tersebut menikmati kemudahan tuntutan semula terhadap kos GST yang terpaksa dibayar.

3. Pendaftaran NGO berkaitan OKU dalam GST tanpa dibebankan kaedah perakaunan biasa yang tentunya menyulitkan operasi NGO berkaitan OKU.

“Amatlah kami menaruh harapan kepada pihak Kementerian Kewangan untuk memberi pertimbangan khusus dalam isu GST ini selain isu-isu khusus lain yang menyentuh hal-ehwal OKU dalam pembentangan belanjawan terdekat ini,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace