DAP hipokrit selepas terajui Pulau Pinang?

AZRUL ZABIDI | .

DALAM media rasmi DAP, terdapat siri-siri kritikan pemimpin DAP Johor berhubung kesan aktiviti penambakan laut di negeri itu.

Malah sikap DAP di Selangor contohnya berhubung penggunaan incinerator untuk pelupusan sampah domestik di Kuala Lumpur kelihatan sangat jujur untuk menjaga alam sekitar.

Malah DAP juga sangat vokal di negeri-negeri Utara Semananjung termasuk menjuarai isu-isu alam sekitar di Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

Namun semuanya kelihatan berbeza apabila kuasa sudah berada di tangan.

Sikap DAP jelas hipokrit apabila menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang selepas 2008.

Mereka sudah terjebak dengan model pembangunan yang hampir sama sahaja dengan kerajaan sebelum ini pimpinan BN yang seringkali dikritik.

Pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar sudah tidak lagi menjadi agenda penting tetapi sekadar isu sampingan.

Bukti terkini adalah kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pembangunan lereng bukit seperti di Balik Pulau dan Jalan Teluk Kumbar dan Jalan Bayan Lepas.

Banjir kilat yang berulang-ulang kali amat menyusahkan penduduk yang terlibat sedangkan para pemaju dan kontraktor pembinaan rakus dengan aktiviti pembangunan mereka termasuk di kawasan sensitif dan berkecerunan tinggi.

Selain isu keselamatan bakal penghuni kediaman di lereng bukit, aspek keselamatan dan kehidupan penduduk asal di sekitar kawasan pembinaan termasuk di kaki bukit atau tanah rendah juga perlu diberi perhatian serius.

Sewajarnya para penduduk yang terlibat diberikan bantuan dan pampasan melalui usaha khusus kerajaan negeri bersama-sama pemaju terlibat.

Selain itu, pihak berwajib juga harus bertanggungjawab menilai semula projek-projek panas dan bermasalah termasuk memberhentikan kerja-kerja pembangunan dengan kuasa administratif yang ada.
Mereka juga harus mengehadkan kelulusan projek-projek baru yang berisiko tinggi terhadap penduduk dan alam sekitar.

Jika tidak, kerajaan negeri akan kelihatan lebih mesra pemaju yang sememangnya hanya berhajatkan kepada keuntungan semata-mata.

Selain pembangunan di lereng bukit, isu penambakan laut juga dilihat semakin menjadi-jadi.

Selepas di beberapa kawasan ditambak seperti di Tajong Tokong dan Sungai Gelugor, kini tiba pula giliran Permatang Damar Laut.

Hal sebegini telah pun banyak kali didedahkan oleh NGO dan kumpulan masyarakat sivil seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), dan terkini oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Namun sikap kerajaan negeri pimpinan DAP dilihat tidak mempedulikan kerisauan dan saranan yang telah diberikan sedangkan isu-isu yang diketengahkan jelas telah menjejaskan kehidupan penduduk seperti kaum nelayan termasuk juga ancaman kepada hidupan laut.

Ini belum lagi soal pembinaan terowong dasar laut yang satu ketika dahulu begitu lantang ditentang namun hari ini sudah ada dalam perancangan untuk pembinaan.

Trend pembangunan tidak mampan sebegini yang kelihatan semakin berleluasa telah secara langsung mencerminkan sikap talam dua muka DAP.

Sewajarnya kerajaan negeri Pulau Pinang berusaha memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri ini yang saban hari semakin rosak atas nama kemajuan dan keuntungan.

Falsafah ‘people first, profit second’ patut diterjemahkan dengan jelas dan jujur bagi membezakan nilai yang dibawa DAP berbanding kerajaan negeri lain.

Janganlah DAP hanya pandai berbicara soal kelestarian alam sekitar di negeri lain tetapi bungkam membisu di negeri yang sedang diperintah. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Penulis ialah Wakil Green Penang Community

Share on Myspace