Ustaz Ahmad penerus legasi Tok Guru

MOHD ASRI MAT DAUD | .

HARI ini, 21 Oktober 2015 maka genaplah 25 tahun usia pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dibawah dasar Membangun Bersama Islam. Legasi Allahyarham Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disambung oleh penerus kepimpinannya iaitu Ustaz Datuk Haji Ahmad Yakob.

Ustaz Ahmad telah menjadi Adun dan Exco sejak tahun 1995 dan kemudiannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula tahun 2004 hingga 2013. Ustaz Ahmad  adalah anak didik Tok Guru yang sangat berdedikasi dan kuat bekerja. Tok Guru mendidik beliau dengan menyerahkan tanggungjawab pentadbiran negeri khasnya dalam hal-hal berkaitan dengan pentadbiran.

Tok Guru sangat rapat dengan beliau dan banyak berbincang soal pentadbiran negeri bersama sehinggakan Tok Guru menyebut terlalu banyak kerja pentadbiran diserahkan kepada beliau semasa menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar.

Ustaz Ahmad telah membuat beberapa tindakan dan pembaharuan sejak beberapa bulan menjadi Menteri Besar Kelantan bagi tujuan untuk memperkasakan lagi pentadbiran dan pembangunan di negeri Kelantan Darulnaim iaitu: -

1. Menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) yang dianggotai oleh sembilan orang pakar ekonomi, ilmuwan dan ahli teknokrat. Jawatankuasa ini berperanan untuk mencadang dan menasihati Kerajaan Kelantan khususnya dalam aspek pembangunan negeri. Ia merupakan satu pendekatan baru yang dikira lebih produktif. Dengan demikian, kepimpinan baru kini diberi peranan dan tanggungjawab mempengerusikan GLC yang sesuai dengan portfolio yang dipegang bagi menggerakkan pembangunan wilayah dan tempatan secara bersama.

2. Mewujudkan Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Strategik Negeri Kelantan (SPARK) yang diterajui oleh Menteri Besar sendiri.  Tujuan unit ini ialah untuk memantau pelaksanaan plan strategik dan pencapaian KPI setiap potfolio Exco Kerajaan Kelantan.

3. Menubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG). Visi IPTG yang telah digariskan ialah untuk menjadi sebuah institusi yang mengembangkan dasar Membangun Bersama Islam berasaskan kepimpinan ulama. Manakala misinya pula ialah untuk melaksanakan program latihan, penyelidikan dan pembangunan bagi melahirkan jentera kerajaan dan masyarakat yang memenuhi kehendak dasar Membangun Bersama Islam.

4. Mewujudkan ‘fasa’ baru pada dasar Membangun Bersama Islam (MBI) seterusnya memasyhurkan pada fasa ini dengan Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MMBI). Pada fasa ini diwujudkan tiga tonggak utama iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ia adalah fasa penerapan dasar MMBI secara bersama antara pemimpin dan rakyat bagi membangunkan Kelantan sejahtera dan diredhai Allah.

5. Membuat penambahbaikan dalam PAC (Public Account Committee) dan meminta PAC Kelantan melaksanakan fungsi hisbah dengan pendekatan yang tegas dan berkesan. Ia adalah suatu pendekatan baharu ke arah memantapkan lagi peranan yang telah dimainkan oleh jawatankuasa PAC selama ini di negeri Kelantan Darul Naim dibawah seliaan para ulama.

6. Mewujudkan portfolio hubungan seranta di bawah Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta bagi membolehkan penyaluran maklumat Kerajaan Negeri dipercepatkan menerusi pusat-pusat aktiviti Kelantan di luar negeri.

7. Memperuntukkan RM1 juta dalam bajet 2014 dan seterusnya 2015 untuk persiapan dan beberapa gerak kerja persediaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan. Ustaz Ahmad telah menegaskan bahawa KJS akan dilaksanakan bermula 2015 sekiranya diberi laluan oleh kerajaan persekutuan.

8. Mewajibkan kepada Pegawai tadbir Negeri menyertai Program Diploma Tasawwur Islam. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membiayai yuran pengajian. Kursus ini juga ditawarkan kepada Pegawai-pegawai Gred 41 ke atas di lain-lain Jabatan Negeri. Tujuan program ini adalah bagi melahirkan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak hanya cekap dalam pekerjaan semata-mata, bahkan mempunyai ilmu keagamaan yang tinggi.  

9. Menubuhkan sekolah baru berkonsepkan asrama penuh yang dibina di Pengkalan Chepa dan perletakan batu asas telah disempurnakan pada 6 Februari 2014 yang lalu. Sekolah ini diberi nama ‘Maahad Sains Tok Guru’ bagi menggemilangkan ketokohan arwah Tok Guru sebagai bapa pendidikan.  

10. Memperuntukkan melalui program Kerusi Tok Kenali sejumlah bajet bagi membiayai pelajar terpilih yang akan menyambung ke peringkat Doktor Falsafah dibidang yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri. Ini adalah satu usaha kerajaan negeri bagi mewujudkan pelapis masa hadapan yang berpotensi.

11. Memprogramkan hari ‘Mabit’ sempena mabit di Muzdalifah bagi menghayati ‘ibrah (pengajaran) dari mabit yang berlaku dalam sejarah hidup Rasulullah SAW. Ustaz Ahmad berharap agar seluruh pemimpin dunia Islam yang mengerjakan haji mengambil inisiatif agar berkumpul bagi membincangkan isu tragis umat Islam dan menetapkan ketetapan untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Sekurang-kurangnya ia adalah sumbangan dunia Islam kepada saudara seislam yang ditindas.

Ustaz Ahmad juga sentiasa mempastikan agenda kerajaan negeri tercapai dalam tempoh yang ditetapkan. Sebelum ini sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran beliau, telah ada beberapa projek dan agenda besar yang telah dilaksanakan antaranya ialah:-

1. Memberi tumpuan bagi menarik lebih ramai pelabur dari Asia Barat dan Asia Timur. Tumpuan diberikan kepada pelaburan dalam bidang halal hub dan industri berasaskan mineral terutamanya limestone yang belum diusahakan secara industri. Kerajaan Kelantan telahpun mengadakan MoU dengan Wilayah Linxia China pada tahun lalu yang mana MoU tersebut  berkonsepkan kerjasama atas dasar kesaksamaan dan faedah bersama dalam menjalankan kerjasama di bidang industri,  pendidikan, kebudayaan dan pelancongan. Persetujuan juga telah dibuat dalam industri halal dan pensijilan dari segi makanan, ubat-ubatan, pakaian, produk biologi dan penternakan. MoU telahpun dicapai pada tahun lalu antara Shanghai Al-Amin Biotech dan Golden Triangle Worldwide Sdn Bhd bagi membina kilang pengeluaran gelatin halal di Negeri Kelantan untuk pasaran tempatan juga luar negara.

2. Menubuhkan Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) yang bertujuan untuk memantapkan lagi perjalanan prestasi pendidikan di Kelantan. Semenjak ditubuhkan, ILPK telah berjaya mengendalikan kursus peningkatan profesionalisma guru untuk 180 orang guru Yayasan Islam Kelantan pada awal Disember 2014 dan turut mengendalikan bengkel kepimpinan Pengetua pada Mei 2015 lalu. Selain itu, ILPK telah menyediakan modul kursus yg meliputi pengurusan sekolah, pedagogi, Al-Quran dan subjek-subjek teras dan pilihan bagi SPM, SMU, STAM serta UPSR.

3. Menandatangani beberapa perjanjian persefahaman dalam bidang pengajian di Turki dalam bidang perubatan dan juga pengajian Islam, ini termasuklah telah diadakan MoU sebelum ini di Qatar, Dubai, Kuwait dan Maghribi untuk menempatkan pelajar-pelajar dari Kelantan dalam pelbagai bidang.

4. Menaiktaraf kehidupan rakyat di luar bandar melalui perancangan pewujudan bandar-bandar baru sebagai katalis pembangunan dan ekonomi di koridor negeri Kelantan antaranya Bandar Baru Sungai terah seluas 1,000 ekar. Dengan adanya bandar-bandar baru ini, maka peluang pekerjaan semakin bertambah, pembinaan rumah kediaman semakin rancak dan taraf sosio-ekonomi setempat akan meningkat

5. Membangunkan projek perintis yang dikenali sebagai Nucleus Green Valley  atau 'Lembah Hijau Nukleus' untuk dijadikan sebagai projek contoh oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad yang diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai projek tanaman tanah tinggi yang mesra alam dan menjadi penanda aras pertanian kepada tanah tinggi Lojing. Ini adalah antara usaha dalam membangunkan sektor pertanian serta mengoptimumkan hasil kerajaan negeri.

6. Menjadikan Pondok Moden Kandis sebagai Produk Pondok Pelancongan Kandis. Hal ini adalah bagi menjadikan pusat-pusat pengajian pondok supaya menjadi mercu ilmu di Kelantan selain ia menjadi tarikan utama dalam menarik pelancong luar melihat tradisi pengajian ilmu bertalaqqi yang masih dikekalkan serta mempromosi kepada masyarakat negeri lain untuk turut datang bertalaqqi di Kelantan.

7. Memberi kebebasan kepada aktiviti-aktiviti agama lain, menjaga kepentingan dan hak kaum-kaum lain agar tidak terabai  memandangkan mereka juga adalah rakyat Kelantan. Sebelum ini, Kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada 24 buah wat siam di Kelantan yang dalam proses digazet untuk diletakkan dibawah Majlis Sangkha negeri Kelantan. Selain daripada itu, rumah ibadat orang cina turut diberi perhatian.  

Berdasarkan usaha-usaha dan agenda yang telah dilaksanakan, adalah jelas bahawa Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Ustaz Ahmad adalah satu penerusan cemerlang terhadap prinsip dan dasar yang telah dirintis oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Allahu Akbar! Walillahil Hamd! – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan

Share on Myspace