Penasihat Syariah KWSP perlu diberi kebebasan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS meminta agar kerajaan memberi sepenuhnya kebebasan kepada Jawatankuasa Penasihat Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar operasi agensi itu mematuhi syariah sepenuhnya.

Bercakap pada perbahasan Rang Undang-Undang KWSP (Pindaan) 2015, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz mengingatkan jawatankuasa ini bukan hanya tertumpu kepada pelaksanaan sesuatu produk sahaja tetapi secara keseluruhan operasi.

"Kita mahu KWSP melaksanakan syariat Islam sepenuhnya dan bukannya hanya tertumpu kepada produk tertentu sahaja.

"Dalam setiap operasi, jawatankuasa penasihat ini perlu terlibat sama untuk kita mendengar nasihat mereka," ucap beliau pada perbahasan di Parlimen hari ini.

Menurut beliau lagi, jawatankuasa ini tidak seharusnya dijadikan sebagai pengesahan status halal tetapi perlu terlibat sama dalam perbincangan-perbincangan penting.

"Menteri perlu pastikan nasihat daripada jawatankuasa ini dipatuhi sepenuhnya, kerana mereka menasihati mengikut pandangan Islam.

"Kita mahu setiap perkara yang diputuskan di dalam KWSP adalah yang terbaik serta mematuhi syariah Islam sepenuhnya," katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace