KJS: MB rakam tahniah kejayaan pasukan peguam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Persekutuan menolak usul difailkan Gerakan bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kejayaan itu hasil kesungguhan pasukan peguam dilantik kerajaan negeri mempertahankan kanun berkenaan.

“Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan peguam yang bertungkus lumus bagi menyelesaikan kes saman berkenaan,” katanya di sambutan Jubli Perak dasar Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Pasukan peguam PAS diketuai Datuk Sulaiman Abdulllah.

Semalam Mahkamah Persekutuan menolak cabaran parti kompenan BN, Gerakan bagi menghalang Kanun Jenayah Syariah (KJS) dilaksanakan di Kelantan.

Sebelum ini Gerakan berusaha mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan undang-udang itu dari segi perlembagaan.

Pengerusi Biro Undang-undang Pemuda Gerakan Kebangsaan Chai Ko Thing dilaporkan berkata, parti itu tidak akan berundur daripada mencabar KJS yang dianggapnya mengandungi kekeliruan.

Pada Mei lepas Gerakan menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan perundangan tersebut.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tiga anggota Gerakan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan mereka akan terjejas disebabkan undang-undang berkenaan.

Tiga anggota Gerakan terbabit iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie

Menteri Besar berkata pindaan KJS pada Mac lepas merupakan titik tolok ke arah pelaksanaan perundangan berkenaan di Kelantan. - HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace